Azeem Tolak Tawaran Jadi Pelari Profesional, Hilang Peluang Jadi Atlet Jutawan?

Ada madah yang sentiasa berkata bahawa wang bukan segala-galanya. Tetapi tanpa wang, maka segala sesuatu juga boleh menjadi sukar.

Namun jika dibandingkan dengan pendidikan, peluang untuk menjadi jutawan apabila bergelar pelari pecut profesional bukan sesuatu yang harus dikesali bagi atlet muda, Muhammad Azeem Fahmi.

Baru-baru ini pemegang rekod kebangsaan 100 meter dengan catatan masa 10.09 saat yang dihasilkan oleh Azeem di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia dilaporkan telah mendapat tawaran daripada dua ejen untuk bergelar pelari pecut profesional.

Pekhabaran tersebut menimbulkan speukulasi di kalangan netizen pelari pecut berusia 18 tahun itu mampu bergelar ‘jutawan segera’ dengan kontrak mewah yang diperolehinya.

Pendidikan tinggi keutamaan Azeem

Walaupun dikhabar sedemikian, bekas pelajar SMK Gunung Rapat, Ipoh yang cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu tetap mahu mengutamakan pendidikan tinggi.

Azeem sebelum ini dilaporkan telah mendapat beberapa tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, termasuk peluang untuk menjalani latihan sebagai atlet.

Antara tawaran yang diperolehi oleh Azeem adalah daripada Universiti Houston, di mana beliau akan dilatih sendiri oleh bekas pelari pecut dan legenda Sukan Olimpik Amerika Syarikat, Carl Lewis.

Houston dilaporkan menjadi antara pilihan utama Azeem kerana adanya komuniti Islam yang besar di sana, selain berpeluang melanjutkan pelajaran dan berlatih di bawah jurulatih profesional.

“Saya tetap dengan pendirian untuk fokus pada pelajaran sebelum menjadi atlet profesional, sebab pada saya pelajaran mesti didahulukan kerana ia adalah pelan paling penting untuk meneruskan kehidupan terutama apabila sudah berusia kelak,” kata atlet muda itu kepada Berita Harian beberapa hari lalu.

“Sebab saya takkan berlari, atau bersukan seumur hidup dan itu adalah benda yang saya kena pegang untuk masa depan nanti,” katanya lagi.

Benarkah Azeem mendapat tawaran jutaan ringgit?

Menurut kajian dan laporan oleh Sapling, pada 2022 purata pendapatan seorang pelari profesional di Amerika Syarikat adalah sekitar $40,000 (RM179,060) setahun.

Jumlah tersebut adalah jauh lebih rendah daripada pendapatan golongan pertengahan di Amerika Syarikat. Jadi sebenarnya rata-rata atlet olahraga profesional di Amerika Syarikat tidak mempunyai gaya hidup mewah.

Tetapi ini tidak bermakna pendapatan itu terhad, bergantung kepada nilai tajaan dan hadiah kemenangan yang mampu diraih oleh atlet itu sendiri.

Fakta di atas ada kebenaranyya sekiranya kenyataan jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah diambil kira.

“Tak ada (nilai yang ditawarkan ejen). Memang tak didedahkan. Apabila kita bernaung di bawah ejen itu, barulah ejen itu akan uruskan semua perkara,” katanya.

“Apabila ada syarikat bersetuju, baru diberitahu berapa bayaran setahun dan sebagainya.

“Jadi, nilai itu tak disebut kerana dia (ejen) bertindak seperti pengurusan. Apabila (kita) terima, maka mereka akan carikan.

“Ia (nilai bayaran) bergantung antara ejen dengan syarikat yang nak menaja itu. (Buat masa ini), berapa bayaran itu, tak ada lagi (disebut).”

“Apabila dah bersetuju dengan syarikat itu, baru ejen akan membuat kerjanya. Bukannya terus tawar dengan berapa (jumlah) bayaran… tidak, bukan begitu,” kata Muhammad Amir ketika dihubungi Berita Harian.

Tidak mudah menjadi atlet profesional

Hakikatnya tidak mudah untuk menjadi atlet profesional. Walaupun dari segi pendapat ia mampu menjana pendapatan yang besar, tetapi ia masih tiada jaminan.

Faktor lain seperti risiko kecederaan turut harus diambil kira oleh Azeem.

Dengan pendidikan, sekurang-kurangnya masa depan Azeem akan terus terjamin, dan pada masa yang sama peluang untuk terus mengharumkan nama negara akan sentiasa terbuka.

Kongsi artikel ini