Azeem Fahmi Akan Dilatih Bekas Pemegang Rekod 100M Dunia Selepas Sah Terima Tawaran Universiti Ausburn

Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi akhirnya meleraikan soal masa depannya apabila memilih Universiti Ausburn untuk melanjutkan pelajaran, sekali gus mengembangkan bakat di dalam bidang olahraga bersama pasukan olahraga universiti itu.

Sebelum ini dilaporkan Azeem telah mendapat tiga tawaran daripada tiga universiti daripada Amerika Syarikat. Antaranya adalah di Houston, Minnesota, dan Oregon – selain pilihan untuk menjadi pelari pecut profesional sepenuhnya.

Namun Azeem akhirnya memilih laluan yang membenarkan beliau berkembang di dalam bidang akademik dan olahraga pada masa yang sama.

Universiti Auburn yang terletak di Alabama sememangnya dikenali sebagai salah sebuah universiti terkenal dunia kerana pencapaian akademik yang baik.

Azeem memperolehi keputusan cemerlang 6A di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

Pilihan Azeem untuk ke Ausburn bermakna beliau akan dilatih oleh bekas pemegang rekod 100M dunia, Leroy Burrell.

Burell dilantik sebagai Ketua Jurulatih Trek dan Olahraga Universiti Ausburn pada Jun lalu, selepas turut pernah bergelar jurulatih di Universiti Houston.

Ketika bergelar pelari, Burell adalah antara pelari pecut utama Amerika Syarikat, dan merupakan pesaing utama Carl Lewis. Namun kecederaan menyebabkan Burrell terpaksa melupakan karier di dalam olahraga lebih awal sebelum bergelar jurulatih.

Bagi Azeem, Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 adalah penampilan terbaiknya setakat ini. Sepanjang tiga larian di Cali, Azeem melakukan tiga larian di bawah catatan masa 10.20 saat.

Azeem turut memecahkan rekod kebangsaan di kejohanan sama apabila merekodkan larian 10.09 saat di peringkat saringan awal kejohanan tersebut.

Kongsi artikel ini