Ayah Wan Kuzain, Wan Kamal Sanggup Beli Pasukan Kelantan Dengan Syarat

Ayah kepada Wan Kuzain dan Wan Kuzri, Wan Kamal menyatakan minatnya untuk mengambil alih pasukan Kelantan dengan syarat.

Umum maklum dengan situasi pasukan Kelantan yang berhadapan dengan masalah kewangan meruncing sejak beberapa musim lalu.

Malah ada beberapa pemain utama sudah menyatakan niat untuk angkat kaki sekiranya keadaan tidak berubah.

Dan laporan oleh Vocket FC pada hari ini berkata Wan Kamal menyatakan minat untuk mengambil alih pasukan Kelantan melalui ciapan yang dilakukan semalam.

Perbincangan diantara bekas CEO NFDP, Sariful Abu Bakar bersama editor Vocket FC, Ahmad Ridzuan pada mulanya berkisar kepada pergabungan dua pasukan, Kelantan FA dan Kelantan United.

Wan Kamal kemudiannya membalas ciapan tersebut dengan menyatakan minat untuk membeli pasukan Kelantan dengan syarat segala hutang terlebih dahulu perlu dilangsaikan.

“Saya rasa tuhan telah mengerakkan hati saya untuk membeli pasukan Kelantan dan menyelamatkan pasukan Kelantan,” jelas beliau ketika dihubungi sendiri oleh Ahmad Ridzuan.

Berdasarkan ciapan seterusnya, Wan Kamal juga dilihat memperbetulkan budaya pemikiran pihak pengurusan yang tidak efektif dan dalam mengendalikan pentadbiran pasukan ketika ini.

Pembangunan akar umbi adalah antara asas utama yang mahu diperkasakan oleh Wan Kamal sekiranya mengambil alih pasukan tersebut.

Untuk tujuan tersebut, Wan Kamal turut berkata sanggup bekerjasama dengan individu terbaik untuk berbincang secara lebih lanjut akan projek dan impian tersebut.

Selain daripada Wan Kuzain yang pernah dipanggil untuk pemilihan skuad Sukan SEA pada tahun lalu, seorang lagi anak Wan Kamal, iaitu Wan Kuzri kini turut berada di dalam senarai pemain Brad Maloney untuk Kejohanan AFC B-19 pada Disember nanti.

 

Sumber: Vocket FC

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on print
Share on email