Ayah Harry Edge Dedah Anak Sedia Wakili Harimau Malaya

Melalui satu ciapan yang dikongsi di laman Twitter pada hari ini, ayah kepada Harry Edge mendedahkan anaknya bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya mendapat panggilan.

Harry Edge adalah salah seorang pemain warisan yang dikatakan mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi pemain naturalisasi terbaru skuad Harimau Malaya.

Setakat ini, Malaysia sudah mempunyai dua pemain naturalisasi, iaitu Mohomadao Sumareh dan juga Liridon Krasniqi.

Pasukan negara turut mempunyai beberapa pemain berdarah campuran seperti Brendan Gan, Matthew Davies dan juga Corbin Ong yang merupakan anggota skuad Harimau Malaya.

Nama Harry Edge menjadi sebutan bersama-sama seorang pemain dari Congo, Marcel Kalonda untuk diserap ke dalam pasukan negara baru-baru ini disebabkan pertalian mereka dengan negara ini.

Kolonda adalah seorang pemain pertahanan dan datuk beliau dikatakan berasal dari Sabah.

Manakala ayah kepada Harry, iaitu Declan Edge dikatakan pernah menetap di Melaka.

“Sudah tentu kami terpuka untuk Harry mewakili negara kelahirannya, Malaysia,” kata Declan mengenai anaknya itu.

Menurut profil yang dikongsikan Astro Arena, Harry Edge adalah pemain tengah berusia 26 tahun, dan kini beraksi bersama Torslanda IK di Sweden,

Pemain itu juga pernah membuat penampilan bersama skuad Bawah-23 Tahun West Bromich Albion di saingan Liga Inggeris.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan telah menghubungi Harry Edge dan marcel Kalonda baru-baru ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan sebagai bukti perkaitan mereka dengan negara ini.

Walaupun sekiranya kedua-dua pemain layak mewakili negara, persoalannya adalah adakah kedua-duanya adalah jenis pemain yang diperlukan oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe?

Kongsi artikel ini