Ayah Dedah Solksjaer Punca Haaland Enggan Pilih Man Utd

Pelbagai teori pernah ditampilkan mengapa pemain remaja Erling Braut Haaland menolak untuk menyertai Manchester United dan memilih Borussia Dortmund pada Januari lalu.

Sebelum pemain remaja berusia 19 tahun itu memilih untuk ke Bundesliga, ia bukan rahsia lagi United sememangnya mahukan khidmat pemain Norway tersebut.

Ini kerana United kekurangan pemain penyerang selepas membenarkan Romelu Lukaku berpindah ke San Siro pada musim panas sebelum itu.

United akhirnya menerima hakikat mereka gagal meyakinkan Haaland untuk ke Old Trafford, dan terpaksa membawa masuk Odion Ighalo pada hari terakhir perpindahan secara pinjaman daripada Shanghai Shenhua.

Ramai penyokong Manchester United terkejut Haaland enggan ke Old Trafford, mengambil kira hubungan baik beliau dan keluarganya dengan pengurus Ole Gunnar Solksjaer.

Solksjaer adalah antara jurulatih yang membentuk Haaland sejak pada usia 16 tahun lagi ketika kedua-duanya bersama di Molde. Haaland adalah pemain penyerang utama Molde pada usia 17 tahun.

Melalui pendedahan terbaru oleh ayah pemain itu, Alf-Inge Haaland seolah-olah memberi banyangan Ole Gunnar Solksjaer sebagai punca mengapa anaknya memilih untuk ke Dortmund.

β€œAnda tidak akan tahu sejauh mana dia [Haaland] boleh pergi jika menyertai kelab lain,” ujar Alf kepada TV2 di Norway.

β€œIa mungkin juga baik jika kami memilih laluan [kelab lain]. Kita tidak akan tahu jawapan kepada soalan tersebut. Tetapi kami gembira dengan apa yang beliau lalui setakat ini.”

Menjelaskan bagaimana beliau dan anaknya memilih kelab selepas bersetuju meninggalkan RB Salzburg, ini komen Alf:

β€œAnda harus pergi ke sebuah kelab di mana keseluruhan kelab itu memang mahukan anda. Itu perkara terpenting. Ia adalah tambahan kepada bagaimana keadaan di kelab tersebut selama lima ata sepuluh tahun, dan hala tuju mereka.

β€œIa sangat bahaya jika anda menyertai sesebuah kelab hanya kerana jurulatih. Kerana secara tiba-tiba seorang jurulatih boleh dipecat.”

Berdasarkan penjelasan ayahnya, Solksjaer semenangnya berminat untuk mendapatkan Haaland berdasarkan pujian yang beliau sering hamburkan terhadap pemain tersebut.

Namun ia mungkin tidak dikongsi oleh pihak pengurusan tertinggi kelab atas beberapa faktor termasuk kerana ejen kepada Haaland adalah Mino Raiola.

Pada ketika United sedang sibuk di jendela perpindahan Januari lalu, masa depan Solksjaer turut menjadi tanda soal selepas prestasi tidak menentu pasukan kendaliannya sepanjang musim.

Semua ini menjadi faktor mengapa Haaland memilih untuk tidak ke United dan akhirnya memilih Dortmund.

United dan Solksjaer bagaimanapun beraksi lebih baik pada Fenruari – tidak tewas dalam 11 perlawanan di semua pertandingan – sebelum liga ditangguhkan kerana krisis COVID-19.

United dijangka terus aktif pada jendela perpindahan seterusnya dengan seorang penyerang sebagai sasaran utama untuk membawa cabaran pada musim akan datang.

Kongsi artikel ini