‘Axelsen Bukan Mesin’ – Tewas Di India Dan Tarik Diri Daripada Terbuka Indonesia

Walaupun menduduki kedudukan No.1 dunia, Viktor Axelsen terpaksa akur apabila tewas kepada Kunlavut Vitidsard di perlawanan akhir Terbuka India 2023 baru-baru ini.

Dianggap sebagai pemain perseorangan terbaik dunia pada hari ini, kekalahan tersebut adalah yang pertama buat pemain dari Denmark itu pada tahun ini.

Axelsen dikenali sebagai pemain dengan kualiti serba lengkap. Memiliki corak permainan tenang, cekal ketika bertahan dan bijak mematikan pukulan ketika menyerang, Axelsen juga berkebolehan melakukan placing yang tepat ketika dalam permainan.

Fizikalnya yang tinggi lampai membuatkan ianya mudah bagi Axelsen menguasai gelanggang juga merupakan aset utama untuk pemain ini menjinakkan lawan.

Namun demikian, lawannya di perlawanan akhir Terbuka India, Vitidsarn turut menampilkan prestasi yang tidak boleh dianggap remeh.

Sebelum ini pemain perseorangan dari Thailand itu tewas kesemua enam pertemuan terdahulu menentang Axelsen.

Tetapi jelas sekali Axelsen juga bukanlah ‘mesin’ atau pun ‘robot’ di dalam dunia badminton kerana ada masanya beliau juga turut perlu berehat.

Sebelum tewas kepada Vitidsarn, pemain berusia 29 tahun itu turut tewas tiga kali sepanjang tahun lalu.

Sebelum kekecewaan di Terbuka India 2023, Axelsen turut ditewaskan Prannoy HS di saingan peringkat kumpulan World Tour Finals 2022.

Dua kekalahan lain Axelsen pada 2022 adalah kepada Loh Kean Yew di suku akhir Terbuka Denmark dan Lakshya Sen di separuh akhir Terbuka Jerman.

Pada 2021, Axelsen tewas sebanyak empat kali. Selain tumbang di tangan Anders Antonsen, Axelsen turut ditundukkan Lee Zii Jia di perlawanan akhir All England.

Kemudian beliau terpaksa mengakui kehebatan Kean Yew di Kejuaraan Dunia dan Prannoy di Indonesia Masters.

Kekalahan terbaru di Terbuka India ini memaksa Axelsen untuk berehat dan membatalkan penyertaan di Terbuka Indonesia.

Ini adalah untuk memastikan dirinya terus cergas untuk bertanding sepanjang tahun.

Kongsi artikel ini