Ini adalah perlawanan sulung Liga Juara-Juara AFC 2020 yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim. Kita pasti akan menyaksikan lebih banyak perlawanan ACL2020 pada masa hadapan di arena ini – tetapi perlawanan pada malam ini mempunyai kepentingan tersendiri.
Selepas tewas 5-1 kepada Vissel Kobe dalam perlawanan sulung Kumpulan G sebelum ini, sudah pasti perlawanan menentang Suwon Samsung Bluewings dilihats sebagai medan terbaik untuk mengumpul mata bagi skuad kendalian Benjamin Mora.
Berikut adalah lima perkara yang boleh kita ambil daripada pertemuan kedua-dua pasukan.
Aura SSI
Biarlah kita berbicara apa yang perlu didahulukan, iaitu Stadium Sultan Ibrahim. Dalam perlawanan ini, atmosfera perlawanan haruslah diberikan pujian.
Ingatkah anda bagaimana Ernesto Valverde dan Jurgen Klopp berbicara stadium mana satu kah di antara Nou Camp dan Anfield yang selayaknya digelar ‘the temple of football’?
Stadium Sultan Ibrahim mempunyai aura yang sama dan berpotensi dijadikan fotress buat skuad Harimau Selatan.
Penyokong JDT, khususnya B.O.S dianggap berjaya menghidupkan suasana perlawanan untuk menghidupkan intensiti yang diperlukan dalam perlawanan ini.
Disiplin pertahanan JDT
Menentang sebuah pasukan yang jauh lebih superior seperti Suwon, Benjamin Mora jelas mempunyai perancangan tersendiri dalam perlawanan ini.
Perkara pertama yang pasti berada di dalam perancangan pengendali dari Mexico itu ialah bagaimana untuk menghalang ancaman pasukan dari Korea Selatan itu terlebih dahulu.
Sistem petahanan JDT wajar dipuji. Berada di dalam sistem 4-5-1 ketika bertahan, JDT hanya membenarkan Diogo Luis Santo untuk berada di hadapan.
Natxo di bahagian tengah bijak mengawal permainan, tatkala Fadhli Saas pula kemas bergandingan dengan Mauricio ketika bertahan.
Hasil disiplin yang ditampilkan JDT, pasukan lawan gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat pada 45 minit pertama perlawanan.
Masterstroke Terry Antonis
Di sebalik kejayaan barisan pertahanan JDT menghalang asakan bertali arus dalam perlawanan ini, tidak ada siapa yang boleh menghalang gol jaringan pemain gantian, Terry Antonis.
Sedar Suwon sukar untuk menghantar bola kepada penyerang utama, Antonis yang mendapat sedikit ruang bijak melakukan bola lencong dari luar kotak penalti yang terus mematikan langkah Farizal Marlias.
Tidak boleh dinafikan jaringan minit ke-51 itu adalah hasil kebijaksaan dan kebolehan tinggi teknikal pemain kelahiran Australia tersebut. Hanya sedikit ruang dibiarkan, Antonis pantas menghukum.
Untuk berlaku adil, tidak banyak yang mampu dilakukan oleh Farizal dalam situasi tersebut.
Nazmi Faiz Mansor
Sejak kembali dari Portugal pada 2014, ramai yang skeptikal akan kemampuan Nazmi Faiz Mansor. Benar, dalam beberapa perlawanan bersama Selangor mahu pun JDT sejak enam musim lalu, kita menyaksikan imbasan kepada kehebatan pemain ini.
Musim ini mungkin pentas terbaik Nazmi membuktikan keupayaannya. Hantarannya kepada Diogo yang menjurus kepada penalti yang disempurnakan Gabriel Cabrera adalah hantaran yang berkualiti.
Begitu juga dengan assist yang disempurnakan oleh Mauricio dalam perlawanan ini. Ia membuktikan pemain ini tajam dalam menghidu ruang untuk menghasilkan hantaran yang diperlukan rakan sepasukan.
Sekarang, Nazmi hanya memerlukan konsistensi. Tidak mustahil Nazmi mampu menjadi baka No.10 yang JDT dan Harimau Malaya tercari-cari selama ini.
Kemenangan berharga
Tiga mata pertama yang diraih pada malam ini adalah tiga mata yang cukup bermakna buat JDT untuk meneruskan saingan dalam Kumpulan G ACL 2020.
Tidak ada perlawanan yang mudah di peringkat ini. Setiap mata adalah penting jika JDT mahu menyasarkan untuk layak sekurang-kurangnya ke peringkat seterusnya.
JDT mungkin tewas 5-1 kepada Vissel Kobe sebelum ini, namun ia pasti menjadi perlawanan dengan cabaran yang berbeza pada ketika Iniesta dan rakan-rakan tiba di Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan seterusnya selepas ini.
Penutup
Satu perkara yang pasti, tidak ada kemenangan mampu dicapai tanpa mentaliti pemenang yang ditampilkan oleh JDT seperti pada malam ini.
Luaskan Kuasamu Harimau Selatan!