Argentina Sah Akan Bertemu Pasukan Dari Asia Tenggara Jun Ini

Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) dilaporkan telah mengesahkan juara Piala Dunia 2022 itu akan bertemu dengan sebuah pasukan dari Asia Tenggara di jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Jun hadapan.

Perkara itu didedahkan oleh ASEAN Football melalui satu ciapan, namun butiran perlawanan hanya akan didedahkan esok.

Laporan tersebut turut tidak mendedahkan pasukan manakah yang akan dihadapi oleh juara dunia itu.

Kalendar perlawanan anatarabangsa FIFA pada Jun akan bermula pada 12hb sehingga 20hb.

Sebelum ini Indonesia dikatakan cuba mengatur perlawanan persahabatan dengan juara dunia itu apabila Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) merancang atur aksi persahabatan pada kalendar antarabangsa FIFA bulan Jun 2023.

Laporan daripada bola.net sebelum ini berkata Ketua Umum PSSI, Erick Thohir sempat berkomunikasi dengan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) ketika Kongress FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda beberapa minggu lalu untuk tujuan tersebut.

Perkembangan itu turut disahkan oleh wakil PSSI, Zainuddin Amali yang mendedahkan pihaknya sedang mengusahakan aksi persahabatan dengan Argentina, Arab Saudi dan Jepun.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada AFA akan menghantar skuad utama yang turut terdiri daripada pemain seperti Lionel Messi, Papu Gomez, dan ramai lagi ataupun skuad B-23 seperti yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Argentina dijadualkan akan menganjurkan Piala Dunia B-20 yang sepatutnya dianjurkan oleh Indonesia sebelum hak penganjuran kejohanan tersebut ditarik oleh FIFA.

Sekiranya benar perlawanan persahabatan di antara Indonesia dan Argentina menjadi kenyataan, terdapat kemungkinan ia akan diadakan di venue lain termasuk di Jakarta.

Ini bukan kali pertama Argentina berhadapan dengan pasukan dari Asia Tenggara. Sebelum ini pasukan itu pernah berhadapan Singapura di Stadium Nasional Singapura pada 2017 yang berkesudahan dengan kemenangan 6-0 buat Argentina

Kongsi artikel ini