Apa Itu FFP, Impak, Nasib Man City, Dan Beza Dengan ECP?

Sejak UEFA mengambil tindakan mengenakan hukuman gantung kepada Manchester City dari beraksi di pertandingan Eropah, pelbagai persoalan telah diajukan ke dalam ‘inbox’ kami.

City dikenakan hukuman gantung selama dua tahun dan juga denda berjumlah 25 juta pound akibat salah laku tersebut.

Ini bermakna Manchester City tidak akan beraksi di pertandingan Champions League atau Liga Europa untuk musim 2020/21, dan juga musim berikutnya 2021/22.

Beberapa soalan telah diterima daripada pembaca, dan melalui platform grandstandkita.net ini, kami cuba untuk menjawab pertanyaan anda.

Apa yang akan dilakukan oleh Manchester City seterusnya?

Keputusan oleh UEFA ini adalah muktamad setelah menafikan segala cubaan membela diri oleh City. Ini bermakna City sekarang hanya boleh membawa kes kepada Mahkamah Timbang Tara (CAS).

Sebelum ini hukuman terhadap Chelsea (oleh FIFA) berkenaan aktiviti di jendela perpindahan telah diringankan. Dalam kes berprofil tinggi sebegini, jawapan oleh CAS boleh diketahui sebelum hujung musim ini.

 

Siapakah yang mengenakan tindakan terhadap City?

Adjudicatory Chamber of the Club Financial Control Body (CFCB) adalah salah satu jawatankuasa disiplin dalam UEFA untuk memantau salah laku kelab berkenaan kewangan.

Presidennya adalah Yves Leterne – bekas Perdana Menteri Belgium – mempunyai kuasa terakhir untuk sebarang keputusan. Beliau turut disertai oleh Jocobo Beltran, juga ahli politik Sepanyol.

Anggota-anggota lain CFCB adalah Yves Wehrli, Konstantin Sonin, Egor Franck dan Petra Stanonic.

Adakah ini kes pertama seumpamanya?

Tidak. Ini bukan kes pertama. Manchester City bukan kelab pertama yang dikenakan denda oleh UEFA kerana melanggar FFP. Sebelum ini AC Milan telah digantung selama setahun.

Panathinaikos, dan Sion turut pernah dikenakan hukuman gantung yang serupa. Secara keseluruhan 15 kelab dari serata eropah – CSKA Sofia, Galatasaray, Fenerbahce, Besiktas, Inter, Roma, Cluj, Marseille dan Paris Saint-Germain – telah dikenakan tindakan atau sedang diikuti rapat oleh CFCB

Apakah dakwaan terhadap Manchester City?

Dakwaan berpunca daripada tajaan yang berasal daripada Etihad – syarikat penerbangan yang dimiliki oleh pemilik kelab. Nama Etihad berada di jersi kelab, pada stadium dan juga pusat akademi.

Pada 2015/16, nilai tajaan daripada Etihad mencecah 75 juta Euro, walaupun nilai sebenar yang didedahkan secara rasmi tidak sampai 10 juta Euro.

Di dalam senario ini, City diuduh memalsukan nilai sebenar tajaan. Dalam kata lain, pemilik menggunakan syarikat miliknya untuk menyuntik dana supaya ia nampak legit. Di Eropah, anda tidak boleh sewenang-wenangnya menyuntik dana hasil kekayaan pemilik semata-mata.

Ia dianggap sebagai pertandingan yang tidak adil di kalangan kelab yang bertanding untuk merebut kejuaraan.

Adakah Manchester City turut akan menerima padah di saingan domestik?

Boleh jadi. Ia terpulang kepada Premier League dan FA, atau arahan terkini daripada UEFA sebagai badan bola sepak Eropah. Tetapi untuk Premier League, kita tidak akan melihat Manchester City akan digantung.

Sebagai pemegang taruh Premier League, City berkemungkinan akan dipotong mata dan juga denda berbentu wang.

Apa beza dengan PSG?

Benar, PSG turut mempunyai kes yang mirip seperti Manchester City. Tetapi UEFA sebelum ini berkata PSG tidak melanggar sebarang peraturan FFP.

Di dalam kes sebegini, CAS tidak akan membenarkan kes yang telah ditutup untuk dibuka kembali. Tetapi jika ada bukti perlakuan terbaru, maka dakwaan baru akan dilakukan. Kami yakin PSG kini turut dipantau rapi oleh CFCB.

Apa beza FFP dan ECP?

Kedua-duanya mengenai sekatan kewangan. Bezanya rujuan. FFP digunakan untuk memantau salah laku kewangan kelab. Misalnya berbelanja lebih menggunakan sumber tidak sah. Ini akan mewujudkan pertandingan tidak adil.

ECP pula bertujuan untuk mendidik perbelanjaan berhemah di kalangan pasukan bertanding. Di Liga Malaysia misalnya, ia adalah untuk memastikan pasukan dan persatuan tidak berbelanja melebihi kemampuan sehingga dibebani hutang melampau.

Siang tadi wakil kami sempat mendengar pembentangan mengenai ECP yang akan dilaksanakan di Liga Malaysia mulai musim hadapan.

Apa yang perlu anda tahu mengenai pelaksanaan ECP?

Posted by Semuanya BOLA on Monday, November 18, 2019

Pelaksanaan ECP juga mempunyai tujuan yang sama sebelum ini di La Liga. ECP mengkehendaki kelab-kelab mempunyai struktur organisasi dan kewangan yang boleh dipantau. Namun ECP tidak diguna pakai untuk kelab yang sudah boleh berdiri sendiri.

Real Madrid dan Barcelona misalnya dibenarkan untuk memiliki struktur organisasi berbeza dengan kelab-kelab lain yang harus mengikut garis panduan ECP.

FFP pula tidak mempunyai garis panduan sedemikian, dan hanya bertujuan menguatkuasakan salah laku kewangan kelab. Liga Malaysia pula belum lagi mengamalkan FFP sepertimana pelaksanaan oleh UEFA – walaupun ECP turut memiliki ciri-ciri FFP mengenai peraturan sumber kewangan.

Buat masa ini ECP lebih sesuai dengan pasukan-pasukan yang bersaing di Liga Malaysia.

Penutup

Kalau anda masih mempunyai soalan, boleh kemukakan di ruangan komen. Kami akan mengumpul soalan anda untuk dijawab pada artikel akan datang.

Sehingga itu, nikmatilah hujung minggu anda.

 

Kongsi artikel ini