Apa Akan Berlaku Jika Kedah Ingkar Arahan MFL Berikan ‘Guard Of Honor’ Kepada JDT?

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak kisah untuk memberikan penghormatan ‘Guard of Honor’ kepada JDT sebelum sepak mula perlawanan sekiranya diminta berbuat demikian oleh pihak penganjur, Malaysian Football League (MFL).

Skuad kendalian Aidil Shahrin itu akan melayan kunjungan JDT di Stadium Darul Aman dalam saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam ini.

Ini merupakan perlawanan pertama skuad Harimau Selatan sejak dinobatkan sebagai juara MSL musim ini pada hujung minggu lalu.

Kesudian KDA FC untuk memberikan penghormatan ‘Guard of Honor’ dinyatakan sendiri oleh pengendali pasukan itu, Aidil Shahrin ketika ditanya mengenai kemungkinan itu oleh wartawan Harimau Malaya.

Bagaimanapun sehingga kini, jurulatih dari Singapura itu berkata pihak KDA FC belum lagi mendapat makluman apa-apa berkaitan perkara tersebut daripada MFL yang merupakan badan penganjur Liga Malaysia.

“Buat masa ini kami belum dapat apa-apa maklumat mengenai perkara ini, tapi jika MFL mahu ia dilakukan, kami akan lakukannya. Kita perlu hormat juara Liga Super. Kami profesional dan akan ikut jika MFL mahu kami lakukan,”

Guard of Honor sebenarnya bukan perkara yang asing di negara ini. JDT sendiri turut pernah menerima penghormatan tersebut daripada pasukan Kelantan selepas muncul juara pada musim 2017.

Maksud di sebalik ‘Guard of Honor’

Guard of Honor adalah satu tradisi yang biasa diamalkan di bola sepak Eropah untuk menyambut dan memberi penghormatan kepada Sang Juara.

Guard of honour ialah keadaan di mana sekumpulan pemain dan staff berbaris untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan yang baru dinobatkan sebagai juara liga. Ia dilihat sebagai tanda penghormatan kepada juara EPL.

Upacara ini bermula pada tahun 1955 apabila Manchester United melakukan kepada juara liga, Chelsea.

Namun begitu, ia tidak diwajibkan bagi mana-mana kelab untuk memberikan Guard of Honor walaupun menghadapi juara liga yang baru dinobatkan pada perlawanan seterusnya.

Atletico Madrid misalnya enggan melakukan Guard of Honor buat juara La Liga musim lalu, Real Madrid dalam pertemuan mereka di Wanda Metropolitano atas sebab perseteruan kedua-dua pasukan.

Upacara ini haris dipersetujui oleh kedua-dua kelab sebelum perlawanan bermula. Pemain mungkin enggan dan mereka tidak boleh dipaksa melakukannya oleh mana-mana pihak berkuasa bola sepak.

Guard of Honor juga dianggap sebagai tanda semangat kesukanan untuk memperakui kehebatan sesebuah pasukan selepas persaingan selama semusim.

Kongsi artikel ini