Anuar Abu Bakar: Legenda Yang Cintakan Bola Sepak Sehingga Ke Akhir Hayat

1 Ramadan pada tahun lalu memberikan khabar duka buat bola sepak negara apabila bekas pemain kebangsaan di era 1990-an, Anuar Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir.

Allahyarham yang berusia 48 tahun sebelum ini disahkan menderita penyakit kanser hati tahap empat dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shah Alam, Selangor.

Anak jati Johor

Anuar Abu Bakar dilahirkan pada 28 April 1971 dan berasal dari Muar, Johor. Karier bola sepak Anuar bermula bersama Johor FA pada 1991 ketika aingan bola sepak domestik negara pada ketika itu masih dikenali sebagai Liga Semi Pro.

Pasukan Johor pada ketika itu memiliki penyerang import hebat seperti Ervin Boban, Abbas Saad dan juga Alistair Edwards. Anuar menyerlah dengan cara beliau tersendiri untuk memikat hati penyokong pada era tersebut.

Dikenali sebagai supersub – antara yang terbaik pernah dihasilkan di Liga Malaysia – Anuar adalah pemain yang sering dimasukkan oleh jurulatih, Michael Urukalo untuk mengubah perlawanan dengan jaringan-jaringan penting pada minit akhir.

Karier beliau bersama Johor paling diingati pada musim 1991. Bukan sahaja Johor menafikan Selangor di perlawanan akhir Piala Malaysia untuk muncul juara pada musim tersebut,.

Pasukan dari selatan tanah air itu turut dianggap sebagai juara mutlak bola sepak Malaysia pada tahun tersebut setelah turut berjaya menghentikan dominasi Selangor selaku juara Liga Divisyen 1.

Selangor adalah juara Liga Divisyen 1 sebanyak dua kali berturut-turut sebelum itu sejak saingan liga mulai diperkenalkan pada 1989.

Perpindahan kontroversi

Pada usia 22 tahun, antara Anuar Abu Bakar dianggap sebagai penyerang muda yang mempunyai potensi tinggi untuk berjaya. Maka tidak hairanlah, khidmat beliau turut diintai oleh pasukan lain – termasuklah Selangor.

Pada 1993, biar pun tidak mempunyai kontrak, keputusan pemain ini meninggalkan pasukan negeri kelahirannya untuk berhijrah ke Selangor mencipta kontroversi apabila niat Anuar tidak mendapat restu pengurusan Johor FA.

Pertikaian yang tercetus di antara Johor FA dan Selangor FA memaksa kes tersebut diheret ke Jawatankuasa Status FAM – sebelum badan induk bola sepak negara itu memutuskan Anuar tidak bersalah.

Annuar akhirnya dibenarkan untuk beraksi mewakili Selangor pada musim itu.

Anuar jadi Red Giant

Pada 1993 Selangor beraksi di Liga Divisyen 2 selepas tersingkir pada musim sebelumnya. Di bawah kepimpinan Dato’ Hj. Mohd Aini Taib, Selangor mempunyai misi untuk bangkit semula sebagai salah sebuah pasukan gergasi bola sepak Malaysia.

Digandingkan dengan Azman Adnan yang dibawa masuk dari Kuala Lumpur pada musim yang sama, Selangor muncul juara Divisyen 2 untuk kembali bersaing di pentas saingan tertinggi negara.

Gandingan ‘AA’ atau Azman-Anuar dianggap sebagai pasangan serangan digeruni pada ketika itu.

Kembali ke saingan Divisyen 1 pada 1994, Selangor turut berjaya memancing Alistair Edwards dari Johor, sekaligus membentuk gandingan ‘AAA’ atau Alistair-Azman-Anuar sebagai rangkaian serangan skuad Red Giants.

Antara kejuaraan utama yang diraih oleh Anuar bersama Selangor ialah kejuaraan Piala Malaysia pada 1995 dan 1996, sebelum membantu gergasi Lembah Klang tersebut meraih kejuaraan Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia pada 1997.

Tiga kejuaraan Piala Malaysia tersebut menjadikan nama Anuar Abu Bakar setaraf legenda bola sepak Selangor yang lain seperti Azman Adnan, K. Sanbagamaran, dan lain-lain.

Antara perkara yang paling diingati sepanjang karier bersama Selangor sudah pasti apabila muncul selaku penjaring skuad Red Giants di Stadium Shah Alam – dalam perlawanan menentang Dundee United – di Kejohanan Jemputan Mitsubishi yang diadakan sempena pembukaan stadium tersebut.

Hijrah lagi

Pada musim 1997, Anuar bukan lagi pilihan utama pasukan Selangor yang pada ketika itu berada di bawah kendalian jurulatih dari England, Steve Wicks. Seorang lagi pemain, Rusdi Suparman turut menyerlah sebagai ‘supersub’ pada musim tersebut.

Selepas membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia 1997, Anuar mengambil keputusan untuk kembali ke Johor pada musim berikutnya – walaupun masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama Selangor.

Beliau kemudiannya beraksi bersama Johor selama dua musim setelah diberikan pelepasan oleh majikan terdahulu, sebelum turut pernah menabur bakti bersama Kelantan dan Pulau Pinang pada 2002.

Walaupun karier beliau seakan-akan sudah berada di penghujung, ia bukan penamat buat Anuar. Menyertai MPPJ FC pada 2003, beliau sekali lagi berjaya membantu pasukan yang diwakilinya untuk menjuarai Piala Malaysia pada musim tersebut – menjadikan MPPJ FC sebagai kelab pertama yang menjuarai pertandingan berprestij itu.

Ini juga bermakna Anuar memiliki lima kejuaraan Piala Malaysia sepanjang karier beliau bergelar pemain. Tiga tahun beraksi bersama kelab yang berpengkalan di Petaling Jaya itu, Anuar akhirnya memutuskan untuk bersara sebagai pemain pada 2006.

Tetap cintakan bola sepak

Walaupun tidak lagi bergelar pemain, secara teknikalnya Anuar tidak pernah meninggalkan bola sepak. Sejurus selepas bersara, beliau kembali menyertai Selangor selaku Penolong Jurulatih ketika pasukan itu dikemudi oleh Dollah Salleh.

Beliau turut mengambil peranan yang sama ketika Selangor berada di bawah kendalian Mehmet Durokovic pada 2015 – membantu jurulatih dari Australia itu memastikan Piala Malaysia kembali ke bumi Selangor pada musim tersebut.

Selain daripada itu, Anuar turut pernah bergelar Penolong Jurulatih kepada PKNS FC diantara tahun 2009 sehingga 2014 dan juga jurulatih T-Team pada 2014.

Anuar turut giat di dalam program pembangunan akar umbi, melatih anak muda generasi baharu bola sepak Selangor bersama MBSA.

Penutup

‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.’ Demikianlah Anuar Abu Bakar yang meninggal dunia genap setahun pada hari ini.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan buat bola sepak Selangor dan negara amnya. Anuar adalah contoh pemain dan jurulatih yang mempunyai jiwa bola sepak sejati.

Malah bola sepak sentiasa dibawa oleh Anuar sehingga ke akhir hayatnya.

Kongsi artikel ini