Andres Iniesta: Maestro, Enganche Dari Espana Yang Pernah Menawan Dunia

Barcelona pernah melahirkan ramai pemain berstatus legenda sepanjang sejarah kelab tersebut. Salah seorangnya adalah pemain tengah iaitu Andres Iniesta yang digelar Enganche La Roja.

Enganche adalah terjemahan latin kepada makna ‘penyambung’ (connector). Dalam bola sepak, Iniesta dianggap sebagai Enganche yang menyalurkan bola dari setiap sudut padang.

Dengan kata mudah, ia merujuk kepada peranan taktikal No.8.

Lahir pada 11 Mei 1984, Iniesta dilahirkan dari Fuentealbilla yang terletak di wilayah Albacete, Sepanyol.

Iniesta mengakhiri karier penuh gemilang beliau bersama Barcelona pada 2018, selepas beraksi untuk kelab tersebut sejak dari era bergelar pemain akademi lagi.

Kini pada usia 35 tahun, pemain tersebut mempamerkan bakatnya di Jepun bersama Vissel Kobe.

Pengaruh Iniesta dalam bola sepak dunia terutama di Sepanyol sebenarnya cukup besar.

Perkara ini pernah diakui oleh rakan dan juga lawan beliau di atas padang, iaitu Diego Godin ketika pemain itu beraksi bersma Atletico Madrid.

Menurut beliau, Iniesta merupakan antara pemain yang terpenting dalam sejarah bola sepak Sepanyol.

“Andres Iniesta adalah pemain terpenting dalam sejarah bola sepak Sepanyol. Ke mana saja beliau pergi di Sepanyol mahupun Eropah, beliau akan dihargai,” ujar pemain antarabangsa Uruguay tersebut yang kini bersama Inter Milan.

“Kehebatan yang ada pada Iniesta telah melahirkan perasaan cemburu di pihak lawan terhadap beliau dan ini membuatkan permusuhan dalam bola sepak cukup bermakna.

“Ia merupakan sesuatu yang wang dan juga piala tidak dapat berikan kepada anda.

Selain Godin, kapten Real Madrid iaitu Sergio Ramos turut menghargai Iniesta walaupun pemain itu datangnya dari seteru utama Los Blancos di La Liga..

“Anda (Iniesta, Torres & Buffon) telah menjadikan pertarungan dalam bola sepak lebih indah dan menarik. Terima kasih!” Ujar Ramos dalam ciapan peribadi ketika Iniesta meninggalkan Barcelona pada 2018.

Sepanjang bersama Barcelona, Iniesta telah menjuarai sembilan kejuaraan La Liga, enam kejuaraan Copa del Rey, empat kejuaraan eropah, dan tiga kejuaraan dunia.

“Ia seperti satu mimpi yang menjadi kenyataan. Saya memenangi deretan kejuaraan di sini, dan melalui saat-saat terindah di dalam karier bersama kelab ini,” ujar beliau ketika mengesahkan akan meninggalkan Nou Camp.

“Saya sangat gembira kerana pernah bermain untuk Barcelona. Untuk itu, saya sangat berbangga.”

Di peringkat antarabangsa, Iniesta telah beraksi bersama setiap peringat umur pasukan Sepanyol.

Antara pertandingan peringkat umur yang pernah dimenangi oleh Iniesta bersama Sepanyol ialah Kejohanan Eropah Bawah 16 Tahun pada 2001, dan juga kejohanan yang sama untuk peringkat umur Bawah 19 pada tahun berikutnya.

Di peringkat senior, Iniesta pernah membantu skuad La Roja muncul juara Eropah sebanyak dua kali – masing-masing pada tahun 2008 dan 2012.

Kejayaan terbesar di dalam kerjaya bersama Sepanyol sudah tentu apabila pasukan itu muncul juara dunia di Kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

 

Kongsi artikel ini