Expand To Show Full Article
Andrea Pirlo Bakal Kembali Sertai Juventus - Grandstand Kita

Andrea Pirlo Bakal Kembali Sertai Juventus

Bekas pemain tengah legenda Itali, Andrea Pirlo bakal kembali menyertai Juventus dalam masa terdekat ini.

Menurut laoran Football Italia, Pirlo akan dilantik selaku jurulatih Skuad B-23 Juventus yang beraksi di Serie C.

Ketibaan Pirlo adalah untuk menggantikan Fabio Pecchia yang meninggalkan jawatan tersebut.

Desas desus kepulangan Pirlo ke Turin bukanlah perkara baharu.

Kelab gergasi Itali itu dilaporkan sudah menawarkan kontrak kepada Pirlo selama berbulan lamanya.

Namun bekas pemain tengah yang turut pernah beraksi bersama AC Milan dan di Amerika Syarikat itu sebelum ini berkata mahu memikirkan sedalam-dalamnya tawaran tersebut.

Akhbar Gianluca di Marzio akhirnya mendedahkan semalam Pirlo akhirnya bersetuju untuk menerima tawaran dari Juventus.

Turut menyertai Pirlo melatih skuad B-23 Juventus nanti ialah bekas rakan sepasukan, Roberto Baronio yang akan bertindak sebagai pembantu beliau.

Pada minggu lalu skuad B-23 Juventus berjaya memenangi kejuaraan pertama mereka iaitu Cuppa Italia Serie C.

Walaupun dengan kejayaan tersebut, Pecchia jelas tidak akan kekal di kawasan teknikal pada musim hadapan.

Pelantikan Pirlo menjadikan ini sebagai pengalaman pertama beliau di dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan bola sepak.

Andrea Pirlo telah mengumumkan persaraan daripada bola sepak profesional pada 31 Disember 2017.

Pada usia 41 tahun pada hari ini, bekas pemain Juventus, Inter dan AC Milan ini pernah memenangi 6 kejuaraan Serie A dan 2 medal kejuaraan UEFA Champions League.

Di pentas antarabangsa, Pirlo merupakan antara pemain utama yang membantu Itali memenangi Piala Dunia 2006.

Pirlo turut memenangi anugerah ‘Top Assist Provider’ pada edisi Piala Dunia yang sama.

Antara salah seorang ‘deep-lying playmaker’ terhebat yang dunia pernah saksikan, kebijaksanaan Pirlo di atas padang, pasti akan dirindui.

Gaya permainnya tenang, merencanakan gerakan pasukan yang diwakilinya daripada bahagian tengah.

Ia pasti perkara yang menarik untuk melihat Pirlo memperagakan falsafah bola sepak beliau bersama skuad B-23 ini.

Kongsi artikel ini