Anderlecht Mahu Pecat Samir Nasri, Akui Menyesal Bawa Masuk Pemain Itu

Samir Nasri kini berhadapan dengan tindakan dipecat oleh Anderlecht selepas pemain itu berdegil untuk tidak menghubungi kelab dan menghilangkan diri sepanjang tempoh pengasingan.

Bekas pemain Arsenal dan Manchester City itu dipercayai terbang ke Dubai dan gagal menghubungi majikannya sejak daripada itu,

Anderlecht sebelum ini telah memberikan peringatan kepada setiap pemain untuk memaklumkan pergerakan dan mengemaskini jadual latihan masing-masing.

Nasri bagaimanapun gagal berbuat demikian. Malah menurut laporan akhbar Derniere Huere di Belgium, semua pemain lain sudah melakukan apa yang diarahkan oleh pengurusan kelab, kecuali Nasri.

Nasri sebelum ini pernah digantung selama 18 bulan atas dakwaan menggunakan bahan larangan ketika bersama Sevilla.

Beliau mendakwa bahan tersebut berada di dalam sistem badan setelah menjalani rawatan di sebuah klinik di Los Angeles.

Pemain dari Perancis itu dibawa masuk oleh bekas rakan sepasukan di City, Vincent Kompany pada musim panas lalu.

Beliau adalah seorang ejen bebas setelah dilepaskan oleh West Ham sebelum ditawarkan kontrak oleh Kompany.

Pengarah Sukan Anderlecht, Michael Verschueren pada Februari lalu pernah meluahkan penyesalan kerana membawa masuk pemain itu.

“Jika saya berpeluang mengulangi apa yang saya telah lakukan, adakah saya akan bersetuju untuk membawa masuk Samir Nasri? Dengan apa yang kita sudah lihat sekarang, jawapannya adalah tidak,” kata Verschueren kepada Proximus.

Nasri hanya menjaringkan dua gol dari lapan penampilan bersama Ancerlecht dan tahap kecergasannya sentiasa memberikan masalah kepada kelab untuk menurunkannya lebih kerap.

 

 

Kongsi artikel ini