Analisis: Perubahan Taktikal Lionel Messi Bersama Barcelona Sejak 2004-2020

“Berbeza dengan Cristiano Ronaldo, Lionel Messi akan menyeksa anda terlebih dahulu sebelum melakukan sentuhan pembunuh.” Itu adalah kata-kata bekas kapten England dan Manchester United, Wayne Rooney ketika ditanya pemain mana yang lebih baik.

Artikel ini bukan untuk membezakan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi secara langsung. Tetapi untuk membawa anda mengikuti perjalanan karier bintang Barcelona dan Argentina itu sejak lebih 16 tahun yang lalu.

Apakah yang memampukan Messi beraksi di tahap terbaik beliau pada usia 32 tahun? Salah satu daripadanya adalah peranan beliau di posisi serangan.

Berikut adalah analisis ringkas perubahan posisi beliau di bahagian serangan sejak menyertai skuad utama Barcelona pada 2004.

Lionel Messi sebagai ‘inverted winger’ (2004-2008)

Pada usia 17 tahun Messi kerap beraksi di bahagian tengah sebagai pemain No.10, atau di sebelah sayap kiri ketika aksi bersama skuad Barcelona B.

Namun sejak debutnya dalam perlawanan menentang Espanyol pada Oktober 2004, beliau beraksi di sayap kanan kerana posisi sebelah kiri diisi oleh Ronaldinho.

Musim berikutnya Messi adalah pemain utama skuad Barcelona dan beraksi di posisi sayap kanan secara bersilih ganti dengan pemain Perancis, Ludovic Giuly.

Embed from Getty Images

Giuly adalah pemain yang pantas, mempunyai penyudah yang tajam, dan bijak mencari ruang melakukan larian untuk menerima hantaran daripada Ronaldinho dan juga Xavi. Messi adalah alternatif kepada Giuly.

Tetapi Messi memiliki kemahiran mengelecek yang memaksa pertahanan lawan untuk sentiasa mengawal beliau, dan mampu mengancam di bahagian half-space dari sebelah kanan serangan Barcelona- ancaman yang tidak dimiliki oleh Giuly.

Ini menyebabkan Messi kemudiannya menjadi pilihan utama Frank Rijkaard. Kecederaan menyebabkan beliau harus melupakan perlawanan akhir UEFA Champions League di antara Barcelona dan Arsenal pada 2006.

Musim 2006/07 adalah musim terpenting dalam perkembangan karier Lionel Messi. Beliau mula menunjukkan kebolehan dan prestasi yang menjadi petanda dirinya akan mengambil alih peranan Ronaldinho sebagai bintang utama di Nou Camp.

Embed from Getty Images

Setelah berehat selama 3 bulan akibat kecederaan pada 2008, Messi menghasikan 11 gol dari 13 perlawanan terakhir pada musim itu, termasuk hatrik ketika menentang Real Madrid.

Kurang daripada empat tahun bersama skuad utama Barcelona, Messi telah memperagakan corak permainan yang semakin bijak dan matang.

Empat tahun tersebut turut menjadikan Messi daripada seorang pemain sayap lincah yang gemar menggelecek, kepada seorang pemain menyerang yang lengkap, berkeyakinan dan mulai berani memberi ancaman di bahagian tengah pertahanan lawan.

Lionel Messi sebagai False 9 (2008-2014)

Selepas dua musim yang mengecewakan, Rijkaard digantikan dengan Pep Guardiola sebagai pengendali Barcelona.

Ketibaan Guardiola bukan hanya permulaan kepada era tiki-taka dan kegemilangan gergasi Catalan tersebut. Ia turut sama pentingnya dengan perkembangan karier Lionel Messi di Nou Camp.

Idea untuk menjadikan Messi mengambil peranan sebagai No.9 adalah hasil kebijaksanaan dan kesedaran Guardiola untuk memenuhi potensi pemain terbaik yang dimilikinya.

Setelah menyaksikan keupayaan Messi di posisi tengah menyerang pasukan pada awal musim, idea menjadikan Messi sebagai No.9 jadian direalisasikan ketika Barcelona membelasah Real Madrid 6-2 di Santiago Bernabeu pada Mei 2009.

Embed from Getty Images

Di bahagian serangan, Gurdiola memiliki Samuel Eto’o dan juga Thiery Henry. Messi diletakkan sedikit ke bawah di antara kedua-dua penyerang tersebut.

Posisi tersebut membenarkan Messi mengeksplotasi ruang di antara garisan pertahanan dan pemain tengah (between the lines) Real Madrid.

Posisi Messi menimbulkan kekeliruan di kalangan barisan pertahanan Los Blancos, untuk sama ada seorang pemain pertahanan tengah mereka patut atau tidak merantai pergerakan Messi.

Embed from Getty Images

Melalui peranan barunya sebagai penyerang No.9 jadian, ia memberi ruang untuk Messi mempergunakan ketajaman visinya melakukan hantaran kepada Henry dan Eto’o atau mengelecek pertahanan lawan sepertimana yang beliau gemar lakukan.

Ia sekaligus turut memberi kebebasan kepada Eto’o dan Henry yang memiliki lebih ruang untuk melakukan penyudah.

Messi mengkahiri musim tersebut dengan 38 gol dalam semua pertandingan. Untuk beberapa musim berikutnya, Messi terus beraksi sebagai penyerang No.9 jadian, walaupun sekali sekala akan beraksi di sebelah sayap kanan.

Lionel Messi sebagai sayap kanan (2014-2017)

Selepas semusim yang mengecewakan di bawah bimbingan Martino, Luis Enrique dipanggil untuk meneruskan kegemilangan Barcelona. Luis Suarez juga tiba menyertai gergasi catalan itu daripada Liverpool pada musim panas yang sama.

Walaupun menjaringkan 41 gol pada musim 2013/14 ketika di bawah bimbingan Martino, ia adalah angka jaringan terendah dalam tempoh 5 musim buat Messi.

Enrique sedar beliau perlu melakukan sesuatu. Apabila Suarez kembali beraksi selepas pergantungan pada Oktober, Messi diarahkan kembali ke posisi sayap kanan, iaitu posisi asalnya ketika diserap ke skuad utama Barcelona.

Embed from Getty Images

Suarez tiba sebagai seorang penyerang tengah yang sanggup bekerja keras dan mempunyai penyudah yang tajam. Di sebelah kiri, kepantasan dan skill yang dimiliki Neymar menjadi taruhan.

Kekuatan utama trio ini ialah ketika melakukan serangan balas pantas. Pergerakan Suarez sering menarik perhatian pemain pertahanan lawan.

Ini membenarkan Messi untuk menggunakan ruang yang dibuka oleh Suarez, dengan larian ke dalam garisan akhir pertahanan lawan dari sebelah kanan serangan Barcelona.

Uniknya pada era ini, Messi turut membina persefahaman yang jitu bersama Dani Alves untuk memberikan sokongan di bahagian width sebelah kanan.

Embed from Getty Images

Kedua-dua pemain berjaya melakukan ‘link play’, mencipta peluang dan menghancurkan pertahanan lawan dari sebelah kanan.

Berbanding dengan karier awalnya di posisi yang sama, kali ini Messi lebih bertindak sebagai playmaker pasukan. Teknik hantaran dan juga visinya jauh lebih baik.

Messi turut membina persefahaman jitu dengan bek bek sayap kiri Barcelona, Jordi Alba dengan hantaran-hantaran ‘diagonal passes’ yang menakjubkan.

Disember 2014 sehingga Mei 2015, kita menyaksikan antara prestasi terbaik yang pernah dipamerkan oleh Messi bersama Barcelona sehingga berjaya memenangi satu lagi ‘treble’, menjaringkan keseluruhan 99 gol untuk 2 musim seterusnya selepas itu.

Evolusi taktikal Messi di bawah Ernesto Valverde

Pada musim terakhir Enrique mengendalikan Barcelona, Messi tetap cemerlang sebagai pemain individu, menjaringkan 54 gol daripada 52 perlawanan.

37 daripada gol tersebut terhasil melalui 34 penampilan La Liga, cukup untuk memenangi gelaran European Golden Shoe buat kali ke-4 sepanjang kariernya.

Dari segi pandangan taktikal, sekali lagi terdapat perubahan  untuk peranan Messi. Beliau beraksi lebih kerap di kawasan tengah garisan akhir pertahanan lawan.

Embed from Getty Images

Ini kerana Barcelona memiliki Ivan Rakitic untuk memainkan lebih peranan di sebelah kanan, manakala Neymar akan beraksi sedikit ke bawah di sebelah kiri serangan Barcelona.

Di atas kertas, Barcelona beraksi dengan formasi 4-3-3. Tetapi ketika serangan dilakukan ia berubah menjadi 4-4-2 berintensiti tinggi dengan Messi menjadi fokal serangan.

Enrique turut menggunakan formasi 3-4-3. Di sini, Messi akan berperanan sebagai pemain No.10 di dalam formasi berbentuk berlian di bahagian tengah Barcelona.

Peranan baru ketika era Enrique ini memberi bayangan kepada perubahan taktikal Messi yang seterusnya.

Embed from Getty Images

Di bawah kendalian Ernesto Valverde sehingga pada musim lalu, Messi terus diberikan peranan sebagai titik fokal serangan di bahagian tengah serangan Barcelona, sepertimana yang dilakukan Enrique.

Bezanya, Valverde memberi peranan sebagai No.9 jadian sebagaimana yang diterapkan oleh Guardiola untuk Messi. Tanpa Neymar, Suarez dipindahkan untuk beraksi di sebelah kiri selaku inverted winger – tetapi dengan peranan yang berbeza.

Suarez tidak memainkan peranan seperti Neymar sebelum ini. Tetapi Suarez lebih bertindak sepertimana David Villa lakukan, dengan beraksi lebih hampir ke kawasan gol.

Perubahan taktikal oleh Valverde ini, membenarkan Messi menjaringkan lebih banyak gol seperti beliau lakukan sekitar 2009 sehingga 2011 ketika di bawah bimbingan Guardiola.

Musim ini agak sukar bagi Messi dan Barcelona. Kecederaan Suarez dan Ousmane Dembele bermakna Messi hanya bergandingan dengan Antoine Griezmann – menyebabkan beliau sering bertukar peranan selaku No.10, false9 dan pemain sayap.

Rumusan

Tidak dapat dinafikan perubahan peranan dan posisi secara taktikal telah membantu Messi sejak beliau bersama Barcelona.

Berapa tahun lagikah pemain seperti Messi akan beraksi di tahap tertinggi. Buat masa ini belum ada indikasi beliau akan berhenti.

Perubahan posisi yang kerap di bawah pengurus berbeza menjadikan beliau seorang ‘complete attacker’ yang sukar dibendung lawan.

Kongsi artikel ini