Apakah yang akan berlaku kepada baki saingan Liga Perdana Inggeris selepas ianya ditunda ekoran penularan wabak coronavirus?
Buat masa ini Premier League menegaskan ianya akan disambung semula pada minggu pertama April.
Namun realistiknya, ia sukar untuk berlaku.
Jika keadaan ini berterusan, adakah saingan musim ini akan dibatalkan? Atau adakah cara lain untuk menamatkan saingan liga?
The Premier League, FA, EFL and WSL have collectively agreed to postpone the professional game in England
Full statement: https://t.co/XcDyzBp4Ol pic.twitter.com/cmYjoY3LRR
— Premier League (@premierleague) March 13, 2020
Selain daripada pembatalan baki saingan, antara cadangan yang turut kedengaran ialah untuk menganugerahkan kejuaraan terus kepada Liverpool.
Malah tiada pasukan akan dijatuhkan ke liga bawahan pada musim hadapan, dan dua kelab teratas di Championship akan dipromosi terus ke Premier League – bermakna saingan musim hadapan menyaksikan 22 pasukan bertanding.
Namun langkah itu hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di kalangan pasukan bertanding khususnya di kalangan kelab yang memburu slot ke pertandingan eropah.
Pembatalan liga
Beberapa kelab sudah menyuarakan untuk saingan musim ini dibatalkan. Ia mungkin langkah paling mudah untuk diambil untuk menyelesaikan kemelut ini.
Bolehkah langkah ini diambil? Jawapannya boleh, dengan syarat 2/3 daripada kelab bertanding bersetuju untuk berbuat demikian.
Di dalam situasi ini, undian perlu dilakukan, dan undi 14 kelab diperlukan untuk meluluskan pembatalan saingan pada musim ini.
Kita berharap senario ini tidak terjadi. Cantik dah nak tamatkan kemarau 30 tahun😅
Posted by Grandstand Kita on Friday, 28 February 2020
Liverpool pasti akan menjadi kelab paling terkesan sekiranya ini berlaku kerana hanya memerlukan enam mata sahaja lagi untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 30 tahun.
Jika undian digunakan untuk menentukan masa depan saingan pada musim ini, siapakah yang akan menyokong? Kelab manakah yang akan membantah untuk saingan diteruskan?
Bolehkah undian mencapai 2/3 seperti yang diminta. Melalui artikel ini kami cuba menganalisis pilihan setiap 20 kelab bertanding berdasarkan keperluan dan kepentingan setiap kelab di saingan musim ini.
Arsenal (9th): BATAL
Tatkala Manchester City digantung daripada Champions League, kedudukan ke-5 pada musim lalu mungkin diambil kira untuk kelayakan pada musim hadapan.
Aston Villa (19th): BATAL
Villa mempunyai kelebihan dua perlawanan belum dimainkan, namun berada di kedudukan ke-19. Batal sahaja lebih selamat.
Bournemouth (18th): BATAL
Pada ketika ini skuad Eddie Howe pasti akan disingkirkan ke liga bawahan. Batal sahaja untuk selamatkan diri.
Brighton (15th): BATAL
Hanya dia mata di atas zon selamat dengan baki 9 perlawanan, pilihan Brighton juga jelas.
Burnley (10th): TERUSKAN
Burnley sedang berada di prestasi baik dan berada di kedudukan ke-10. Malah mereka hanya ketinggalan empat mata di pasukan kedudukan ke-6 dan masih berpeluang layak ke eropah musim hadapan.
Chelsea (4th): BATAL
Chelsea antara kelab yang memegang kunci kepada keputusan oleh Premier League. Memilih batal bermakna kedudukan mereka di tangga ketiga pada musim lalu diambil kira. Memilih untuk meneruskan bermakna Chelsea mengambil risiko kerana kini berada di kedudukan keempat, dan Manchester United hanya ketinggalan tiga mata di belakang.
Crystal Palace (11th): TERUSKAN
Palace selamat dari zon penyingkiran dan mempunyai mata yang sama dengan Burnley. Ini bermakna Palace turut masih berpeluang ke Eropah musim hadapan.
Everton (12th): BATAL
Hanya memiliki 37 mata, peluang Everton untuk ke Eropah pada musim hadapan adalah tipis. Membatalkan saingan musim ini bermakna Everton turut memadam impian seteru mereka Liverpool daripada kejuaraan pertama sejak 30 tahun.
Leicester (3rd): TERUKAN
Tiada keraguan apa Leicester mahukan pada musim ini. Leicester bermain dengan baik pada musim ini dan slot ke Champions League juga tampak semakin dalam genggaman. Membatalkannya bermakna usaha keras musim ini menjadi sia-sia.
Liverpool (1st): TERUSKAN
Liverpool menjadi kelab paling malang di dunia jika Premier League musim ini dibatalkan.
Manchester City (2nd): BATAL
City sudah tidak ada apa untuk dipertaruhkan. Jika mereka berpeluang mempertahankan trofi kejuaraan di Etihad, mengapa tidak.
Manchester United (5th): TERUSKAN
United berkemungkinan besar menyebelahi Liverpool kali ini. Skuad Ole Gunnar Solskjaer berada di prestasi baik dan berpeluang memintas Chelsea untuk ke Champions League. Kekal di kedudukan ke-5 tidak memberi jaminan ke pertandingan elit itu.
Newcastle United (13th): BATAL
Di dalam kes Newcastle, langkah selamat harus diutamakan terlebih dahulu. Mereka kini hanya mempunyai kelebihan 8 mata di atas zon selamat. Berbaki sembilan perlawanan, mereka sepatitnya selamat. Tetapi pada masa yang sama Newcastle sudah tidak punyai apa-apa untuk dikejar.
Norwich City (20th): BATAL
Berada di kedudukan tercorot, Norwich pasti memilih untuk kekal di Premier League musim hadapan.
Sheffield United (7th): TERUSKAN
Ia adalah musim yang menarik untuk Sheffield United. The Blades akan berada di kedudukan ke-5 sekiranya mereka menang lebihan satu perlawanan di tangan. Ini bermakna mereka juga berpeluang layak ke Eropah pada musim hadapan.
Southampton (14th): BATAL
Tujuh mata di atas zon penyingkiran dan berkemungkinan selamat. Seperti Newcastle, Southampton juga mungkin tidak mahu mengambil sebarang risiko. Membatalkan musim bermakna rekod dibelasah Leicester 9-0 turut terpadam.
Tottenham (8th): BATAL
Jose Mourinho mengakui beliau sudah tidak sabar musim ini untuk tamat, dan cita-cita itu mungkin dimakbulkan lebih cepat. Spurs kini berada di kedudukan kelapan dan ketinggalan tujuh mata di belakang Chelsea. Spurs juga sudah tersingkir dari perebutan pertandingan domestik lain. Membatalkan musim bermakna Spurs kekal di Champions League pada musim hadapan.
Watford (17th): BATAL
Hanya dipisahkan dari zon penyingkiran oleh perbezaan gol apa yang Watford mahukan sangat jelas.
West Ham (16th): BATAL
Naib Pengerusi West Ham, Karen Brady secara terangan-terangan sudah menyatakan pendirian mereka.
Wolves (6th): TERUSKAN
Wolves hanya ketinggalan lima mata di belakang Chelsea dan pasti akan layak sekurang-kurangnya ke Liga Europa.
Rumusan
Daripada pengiraan di atas ada TUJUH kelab mahukan musim ini diteruskan. 13 belas lagi berkemungkinan mahu ia dibatalkan. Ia adalah undian yang sangat rapat.
Kami mungkin betul, mungkin juga silap. Kita sama-sama tunggu sahaja nanti.