Analisis F1: Ke Manakah Hala Tuju Sebastian Vettel Pada 2021?

Umum mengetahui bahawa juara dunia Formula One empat kali, Sebastian Vettel sah akan meninggalkan Scuderia Ferrari pada hujung musim 2020 ini.

Ferrari turut mengesahkan bahawa tempat Vettel akan diambil oleh pemandu dari Sepanyol, Carlos Sainz Jr yang beraksi buat McLaren-Renault musim ini.

Dengan pengumuman Vettel tidak akan memandu kereta berwarna merah selepas ini, apakah seterusnya buat Vettel?

Menyertai Mercedes?

Foto: xPhoto4/LaPressex

Kesemua pemandu Formula One mahu memandu kereta terbaik, dan dalam kes Vettel, peluang yang tinggal mungkin hanya memandu kereta juara dunia sejak 2014, Mercedes AMG Petronas.

Menurut beberapa laporan, pemandu kedua Silver Arrows, Valtteri Bottas akan meninggalkan pasukan tersebut hujung musim ini, namun Mercedes dilaporkan lebih berminat menggunakan pemandu dari program pemandu muda mereka iaitu George Russell yang ketika ini sedang bersama RoKiT Williams Racing.

Dan ia agak sukar untuk melihat dua pemandu ‘nombor satu’ berada dalam pasukan yang sama selepas Mercedes ketika ini sudah mempunyai Lewis Hamilton, dan kos yang tinggi perlu dibayar andai Mercedes mahu meletakkan Vettel dalam pasukan mereka.

Menyertai pasukan lebih lemah?

Foto: Grandprix247

Red Bull turut menyatakan mereka kurang berminat dengan khidmat Vettel dan juga terus komited dengan program pemandu muda mereka.

Pilihan lain yang tinggal ialah Vettel menyertai pasukan kelompok tengah (mid table team) Formula One, seperti Renault dan Racing Point – yang akan bergelar Aston Martin musim hadapan.

Begitupun, menurut laporan Essentially Sports, Vettel tidak berminat untuk menyertai pasukan kelompok tengah ini, bahkan penulis juga berasakan Vettel masih mempunyai sesuatu untuk ditunjukkan kepada Formula One dan memenangi perlumbaan. Bukan untuk hanya mengejar beberapa mata sahaja setiap perlumbaan.

Sabbatical‘ dari Formula One?

Vettel mungkin boleh mengikut jejak langkah juara dunia dua kali, Fernando Alonso.

Memandangkan sukar buat Vettel mencari satu kereta buatnya pada musim 2021, Vettel boleh berhenti seketika daripada F1 sebelum memperoleh peluang seterusnya pada musim berikutnya.

Namun, setakat ini tiada laporan media yang menyatakan Vettel mahu melakukannya.

Atau…bersara?

Ramai menjangkakan hal ini yang akan berlaku. Ya, Vettel boleh meninggalkan F1 secara tetap selepas 2020.

Begitupun, penulis berfikiran bahawa ia adalah satu kehilangan besar buat F1 andai benar Vettel meninggalkan sukan ini ketika ini.

Hal ini kerana, Vettel masih lagi mempunyai sesuatu dalam dirinya. Beliau ialah seorang pemenang, dan beliau telah membuktikannya pada masa lalu. Ya, beliau dilihat gagal dalam enam tahun bersama Ferrari kerana gagal memenangi sebarang kejuaraan dunia dan beliau perlu diberi peluang bersama pasukan atasan F1 yang lain.

Bahkan, Vettel juga tentunya tidak mahu dikenang hanya sebagai ‘juara Red Bull’ kerana kesemua empat kejuaraan diperolehinya sebelum ini hanya bersama Red Bull. Beliau memerlukan pasukan yang boleh memberinya kejuaraan kelima dan ia bukan Ferrari.

Kongsi artikel ini