Analisis: Chelsea Sedia Jual 7 Pemain Bantu Jana Kewangan Bawa Masuk Timo Werner Dan Ramai Bintang Baru

Chelsea dilaporkan akan mengeluarkan ‘clearance sale’ dengan menjual sehingga tujuh pemain utama pada jendela perpindahan akan datang, demi menjana kewangan untuk membawa masuk Timo Werner dan Hakim Ziyech, serta ramai pemain baru untuk saingan pada musim akan datang.

The Blues mengejutkan ramai sebelum ini apabila berjaya meyakinkan bintang RB Leipzig untuk melupakan Anfield untuk menuju ke Stamford Bridge.

Penyerang dari Jerman itu dikaitkan dengan Liverpool selama bertahun-tahun, sebelum segalanya terlerai pada hujung minggu lalu.

Chelsea membelanjakan tidak kurang £53 juta untuk Werner, selain £35.6 juta yang dibayar kepada Ajax untuk Ziyech, bermakna Frank Lampard harus membenarkan ramai pemain untuk pergi di jendela perpindahan akan datang.

Menurut Mirror, Pedro, Willian, Jorginho, Marcos Alonso, Kurt Zouma, Ross Barkley dan Michy Batshuayi hampir pasti akan meninggalkan Stamford Bridge selepas saingan pada musim ini tamat.

Selain daripada Ziyech, Chelsea kini turut dikait rapat dengan bintang Sassuolo, Jeremie Boga. Jika perpindahan tersebut menyusul, Lampard tidak mempunyai sebarang sebab untuk mengekalkan Pedro dan juga Willian.

Kontrak kedua-dua pemain bakal tamat pada musim panas akan datang, dan Pedro dikaitkan dengan perpindahan ke Roma.

Willian pula ditawarkan kontrak baharu oleh Chelsea, namun pemain dan kelab masih gagal menemui persetujuan mengenai tempoh kontrak yang diperlukan.

Pemain tengah, Jorginho pula dilihat bakal menyertai Juventus untuk kembali bergabung dengan bekas pengurus, Maurizio Sarri.

Manakala Alonso pula hanya beraksi dalam sembilan perlawanan pada musim ini, dan posisi bek kiri tersebut adalah posisi paling bermasalah pada musim pertama Frank Lampard.

Lampard dikatakan berminat untuk mendapatkan Ben Chiwell daripada Leicester City untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Namun Leicester City menuntut jumlah yuran perpindahan yang sama seperti yang dibayar oleh Manchester United ketika mendapatkan Harry Maguire pada musim lalu.

Bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho pula dikatakan berminat untu membawa masuk Zouma ke Tottenham Hotspur  dalam usaha beliau merombak bahagian pertahanan pada musim hadapan.

Ross Barkley juga menarik minat bekas pengendali, David Moyes yang mahu bersatu dengan pemain tersebut di West Ham.

Apabila Werner menyertai Chelsea, dan Olivier Giroud sudah meyambung kontrak sehingga akhir musim depan, ini bermakna Batshuayi akan menjadi penyerang pilihan keempat di belakang Tammy Abaraham.

Pemain Belgium itu dikatakan menarik minat daripada Newcastle United, Crystal Palace dan West Ham.

Skuad kendalian Frank Lamapard seakan-akan berwajah baharu pada musim depan. Werner dan Ziyech sudah disahkan. Beberapa pemain lain seperti Chilwell dan Boga kini turut dikaitkan dengan The Blues.

Mampukah Chelsea memberi tentangan sengit pada musim hadapan?

Kongsi artikel ini