Amin Nazari: ‘Jeneral Tengah’ Yang Akan Jadi Fokal Pasukan Kedah

Amin Nazari melengkapkan kuota pemain import di Kedah untuk musim 2020. Musim hadapan boleh dianggap besar buat Kedah yang bakal bersaing di AFC Champions League buat julung kalinya.

Persiapan tahun ini tampak kemas. Serba serbi serius dan lengkap di semua posisi. Gandingan Kpah Sherman dan Tchetche Kipre tampak mantap.

Masalah musim lalu

Antara posisi yang dianggap bermasalah buat Kedah pada musim lalu adalah bahagian tengah. Posisi ini pada musim lalu sering kali diisi oleh Amirul Hisyam dan Baddrol Bakhtiar.

Namun gandingan Amirul-Baddrol gagal atau pun Baddrol-Rowley tidak menghasilkan dinamik yang diperlukan sejak pemergian Liridon Krasniqi.

Antara isu yang dihadapi Kedah pada musim lalu ialah kurangnya kreativiti dari bahagian tengah. Sejak pemergian Liridon juga, tiada pemain tengah yang benar-benar boleh membantu bahagian pertahanan di Kedah.

Amin Nazari jeneral baharu

Seperti yang sudah diketahui, untuk menyelesaikan isu ini, pemain antarabangsa Filipina, Amin Nazari telah dibawa masuk. Bagaimana corak permainan Amin Nazari boleh membantu Kedah?

Berdasarkan pemerhatian kami melalui beberapa video mengenai pemain ini ketika beraksi bersama Ratchaburi Mitr Phol di Liga Thailand, Amin mampu beraksi di beberapa posisi.

Antaranya adalah sebagai pemain sayap kanan, pemain tengah menyerang dan juga sebagai central midfielder.

Mari kita melakukan penilaian yang jujur di sini. Amin Nazari bukanlah pemain yang diambil untuk menggantikan Liridon secara terus. Pemain ini mempunyai corak permainan berbeza.

Liridon adalah pemain yang memiliki kelebihan fizikal dan teknikal yang lebih mantap jika dibandingkan dengan Amin Nazari.

Tetapi ini tidak bermakna Amin Nazari tidak mampu untuk membantu jentera tengah Kedah dan menawarkan aksi yang diharapkan oleh Aidil seperti yang diperlukan pasukan.

Corak permainan

Jika dibandingkan dengan Liridon, kami percaya Amin Nazari adalah pemain yang lebih mobil. Ini bermakna Amin akan ‘cover-up’ jarak larian yang lebih luas di dalam perlawanan.

Amin juga adalah seorang pemain yang memiliki ‘football brain’ yang mantap.

Beliau bijak membaca gerakan bola untuk melakukan pintasan, tahu untuk berada di posisi yang betul untuk menerima hantaran sebelum menyerang ‘space’ atau ruangan untuk melancarkan serangan.

Di dalam sistem permainan Kedah yang bersandarkan 4-2-3-1, saya percaya Amin akan lebih banyak berfungsi sebagai seorang pivot.

Beliau bukan seorang pemain yang gemar melakukan bentesan.

Seperti yang saya katakan tadi, kebijaksanaan beliau membaca gerakan bola memudahkan beliau melakukan pintasan.

Ini sekaligus membantu Kedah untuk melindungi barisan empat pemain pertahanan di belakang sebelum melakukan transisi kepada serangan.

Musim lalu sering kali Kedah akan bertahan di garis rendah. Perkara ini sering kali menghukum benteng Kedah.

Dengan adanya Amin Nazari, perkara ini boleh dielakkan dengan pintasan bola ketika lawan sedang membina serangan dari bahagian tengah.

Mengapa Amin Nazari dipanggil ‘jeneral tengah’?

Seorang jeneral tengah mengawal sepenuhnya bahagian tengah dari bertahan dan juga untuk melancarkan serangan.

Masihkah anda ingat akan perlawanan diantara Malaysia vs Thailand tempoh hari?

Kedudukan Nazari yang menerima bola untuk melakukan transisi dari bertahan ke serangan. Beliau adalah fokal pasukan. Ini salah satu contoh.

Brendan Gan beraksi diibaratkan seperti seorang jeneral. Sekejap beliau bertahan.

Kemudian beliau mampu membantu pasukan melalukan serangan.

Amin Nazari adalah baka pemain sebegini. Dengan kata lain, Amin Nazari bakal menjadi pemain fokal kepada corak permainan Kedah.

Anda boleh saksikan video yang kami kongsikan untuk memahami lebih lanjut apa yang kami mahu sampaikan.

 

Kongsi artikel ini