Amaran FIFPRO Bukti Tindakan Jordi Amat Tolak Tawaran Panathinaikos Dan Pilih JDT Adalah Tepat

Dua hari lalu FIFPRO iaitu badan bola sepak yang menjaga kepentingan dan kebajikan pemain bola sepak di seluruh dunia mengeluarkan satu senarai yang mengandungi 7 negara dan menjadi amaran kepada pemain-pemain bola sepak profesional.

Menurut badan itu, pemain bola sepak profesional harus mengelakkan diri untuk menyertai kelab dari mana-mana tujuh negara tersebut iaitu Algeria, China, Greece, Libya, Arab Saudi dan Turki.

Ini kerana kelab-kelab dari 7 negara  tersebut kini berada di dalam senarai FIFPRO sebagai kelab dan negara yang paling kerap melanggar kontrak pemain dan tidak bersistematik.

Kelab Eropah antara yang bermasalah

Menurut laporan badan induk itu, Romania dan Turki memiliki jumlah kes paling tinggi melibatkan kelab gagal membayar gaji, selain tunggakan yang tidak pernah selesai.

Jumlah kelab di Romania yang muflis juga dianggap merisaukan dan akan memberi masalah kepada pemain. Kemungkinan pemain yang tidak dibayar gaji untuk menerima pampasan juga dianggap sukar.

Di Greece (Super League 2) pula kelab cenderung untuk ‘gulung tikar’ tanpa sebarang notis dan meninggalkan hutang begitu sahaja.

Malah kelab besari Greece seperti Panathinaikos turut pernah digantung oleh UEFA pada 2018 kerana krisis kewangan.

Sejak dua tahun lalu, Greece adalah negara dengan jumlah tertinggi untuk pemain menuntut gaji nyang tidak dibayar daripada Dana Perlindungan Pemain FIFA (FIFA Player Protection Fund)

Gaji tidak berbayar juga kini menjadi masalah berulang yang menimpa pemain di Algeria, China, dan Arab Saudi.

Di Libya FIFPRO pula kini risau dengan peningkatan jumlah pemain yang terperangkap di sana selepas majikan (pihak kelab) enggan memberikan dokumen berkaitan.

Jordi Amat turut terima tawaran dari Turki dan Greece

Pemain import JDT, Jordi Amat baru-baru ini turut dilaporkan menerima tawaran daripada Panathinaikos di Liga Greece dan sebuah kelab yang tidak dinamakan di Turki.

Ketika ramai penyokong bola sepak di Indonesia marah dengan pendirian pemain itu menyertai JDT dan beraksi di Liga Malaysia, Jordi Amat pula menyatakan kekaguman beliau terhadap bola sepak di Asia, khususnya di rantau ini yang dianggap semakin berkembang.

Ramai bertanggapan Jordi Amat telah dikaburi oleh wang sehingga membelakangkan tawaran Panathinaikos dan memilih JDT. Atau adakah Jordi Amat sememangnya sudah menyedari permasalahan yang bakal menimpanya sekiranya beliau ke Greece atau Turki?

Sebagai pemain profesional dan memiliki pengalaman beraksi di Eropah sepanjang kariernya, sudah tentu Jordi Amat sedar akan hal ini.

Menurut laporan dari FIFPRO kebanyakkan kelab yang bermasalah di Greece adalah kelab Super League 2 yang merupakan kelab divisyen kedua negara itu.

Bagaimana pun rata-rata kelab Divisyen 2 Greece sebenarnya adalah feeder club atau merupakan kelab simpanan kepada pasukan utama di Divisyen atasan.

Sekurang-kurangnya penyokong bola sepak JDT dan Liga Malaysia amnya beruntung kerana bakal menyaksikan aksi salah seorang pemain berpengalaman di negara ini.

Kongsi artikel ini