Expand To Show Full Article
All England: Saksikan Beregu Negara, Lee Zii Jia Cemerlang Ke Suku Akhir - Grandstand Kita

All England: Saksikan Beregu Negara, Lee Zii Jia Cemerlang Ke Suku Akhir

Pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan aksi cemerlang untuk mara ke suku akhir kejohanan badminton All England 2020 di Arena Birmingham, England semalam.

Gandingan tersebut yang berada di ranking ke-10 dunia itu bagaimanapun terpaksa mengharungi saingan sengit selama 48 minit.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyingkirkan pasangan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 24-22, 21-17 pada perlawanan pusingan kedua, menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam laman webnya; www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Tugas berat menanti naib juara tahun lepas itu pada suku akhir nanti apabila bakal berdepan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Pasangan dari Indonesia itu sebelum ini menyingkirkan saingan mereka dari China Ou Xuan Yi-Zhang Nan 21-9, 21-15.

Nasib berbeza buat pasangan beregu profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila mereka tewas kepada pasangan Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin 19-21, 16-21 sekali gus tersingkir daripada saingan dalam kejohanan yang menawarkan US1.1 juta (RM4.677 juta).

Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia turut mengekalkan rentak cemerlang apabila turut mara ke suku akhir selepas mengenepikan pemain dari China, Lu Guang Zu 21-10, 21-16.

Zii Jia yang menduduki ranking ke-13 dunia itu akan berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 Chen Long dari China yang turut mara selepas menewaskan bekas juara dunia yang juga rakan senegara, Lin Dan 21-17, 21-8.

Kongsi artikel ini