Air Hujan Bertakung Ia Perkara Biasa – Pengurus Kompleks Sukan Negeri Terengganu

Susulan dengan kejadian hujan lebat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak sehingga menyebabkan tempat duduk penyokong bertukar jadi kolam renang , Pengurus Kompleks Sukan Negeri Terengganu tampil dengan membuat kenyataan yang luar biasa.

‘ Ia perkara biasa , bukan luar biasa ‘ A. Zulkefli Mohammad.

Memetik kenyataan beliau yang disiarkan melalui laporan Harian Metro situasi itu adalah perkara biasa setiap kali hujan lebat, namun keadaan berkenaan tidak lama kerana air akan mengalir ke dalam longkang dengan cepat bergantung keadaan hujan.

Kejadian itu berlaku di tempat duduk penonton bawah ketika aksi Liga Super membabitkan pasukan tuan rumah, Terengganu FC (TFC) bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) kelmarin yang menyaksikan keputusan seri 0-0 tanpa jaringan.

“Jika hujan lebat, air akan bertakung, situasi ini adalah biasa, bukannya luar biasa, tapi selepas kira-kira 10 minit air dari atas itu akan mengalir ke dalam longkang.

“Padang bola pun air bertakung hanya seketika, inikan pula tempat duduk aras paling bawah penonton itu, lagipun tempat berkenaan adalah salah satu saluran keluar air.

“Harap peminat terutama daripada pasukan lawan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak sepatutnya kerana peminat setia skuad tuan rumah sudah mengetahui dan memahami situasi itu setiap kali hujan lebat melanda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Bahagian Infrastruktur dan Kemudahan berkata, pihaknya sentiasa peka dengan keadaan yang berlaku.

“Kita sentiasa memantau keadaan itu termasuk aliran air supaya tidak tersumbat, lagipun ketinggian air tidak menentu, tapi tidak melebihi satu kaki (0.3 meter), namun ia tidak menjadi masalah kepada pengurusan pihak stadium,” katanya.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin merupakan binaan bangunan hasil rekacipta daripada arkitek yang tersohor ,  Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang menelan kos sekitar RM 270 juta pernah mengalami kerosakan teruk hampir 50% struktur stadium selepas berlakunya tragedi runtuhan bumbung kira-kira setahun di buka pada Jun 2009.

Perasmian gilang gemilang oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 10 Mei 2008 dan pernah menjadi tempat Upacara Pembukaan Rasmi SUKMA Terengganu kali ke-12.

Stadium ini dianggap tercanggih di pantai timur dan telah menjadi gelanggang rasmi bagi pasukan Terengganu FC bermula pada tahun 2020.

 

 

 

Kongsi artikel ini