AIFF Dikritik Bazir Peruntukkan Upah ‘Pakar Nujum’ Bantu India Ke Piala Asia

Persekutuan Bola Sepak india (AIFF) dilaporkan telah membelanjakan sejumlah $200,000 (RM880,600) untuk khidmat pakar nujum (astrologer) bagi membantu pasukan kebangsaan negara itu menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada jun lalu.

Menurut laporan India Sport, AIFF menggunakan khidmat pakar nujum untuk menghadapi tiga perlawanan penting menentang Afghanistan, Kemboja dan Hong Kong.

Beraksi sebagai pasukan tuan rumah, India menang semua perlawanan pusingan kelayakan tersebut dan turut menjadi antara 24 pasukan yang akan beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023.

Sumber yang tidak dinamakan dipetik sebagao berkata: “Pada mulanya seorang penceramah motivasi dipercayai telah dilantik untuk membantu skuad India di pusingan kelayakan Piala Asia.

“Selepas itu, [penceramah motivasi] didapati sebenarnya adalah seorang pakar nujum. Dalam erti kata lain, AIFF menggunakan khidmat pakar nujum untuk mengubah nasib dan menaikkan moral pemain.”

Menurut sumber tersebut lagi, AIFF membayar sebanyak $20,500 untuk tiga sesi bersama pemain, di mana setiap sesi diadakan sebelum setiap tiga perlawanan itu berlangsung.

Pendedahan tersebut menimbulkan kemarahan di kalangan kominiti bola sepak di India.

Mereka mendakwa dana tersebut boleh digunakan di tempat lain yang lebih berfaedah seperti membina fasiliti bola sepak yang boleh memberikan lebih banyak manfaat kepada bola sepak di negara itu.

Turut meluahkan kekecewaan adalah bekas penjaga gol antarabangsa India, Tanumay Bose.

“Pada ketika AIFF gagal menganjurkan pertandingan bola sepak akar umbi dan kejohanan berprestij yang lain, insiden seperti ini hanya akan memberikan imej buruk kepada bola sepak India,” kata beliau.

Malah Bose turut berpendapat perbelanjaan tidak perlu oleh AIFF sebenarnya untuk menutup isu lain.

AIFF kini ditadbir oleh satu badan khas selepas Presiden, Praful Patel digantung.

“Jawatankuasa khas itu perlu menyiasat insiden ini dan mencari siapakah yang bertanggungjawab di sebalik semua ini.

“Terlampau banyak penipuan perlu didedahkan,” tambah beliau lagi.

Pada bulan lalu Mahkamah Supreme India melantik tiga individu untuk menganggotai Jawatankiuasa Pentadbiran Khas (CoA) untuk mengendalikan AIFF.

Patel dan barisan eksekutif AIFF sebelum itu pula digantung kerana pelbagai masalah dalaman membabitkan pentadbiran badan bola sepak itu.

Kongsi artikel ini