Agensi Berita Dedahkan Ifedayo Sebenarnya Adalah Pemain JDT

Sebuah agensi berita tempatan melaporkan pemain import Melaka United musim ini, Ifedayo Olusegun sebenarnya adalah pemain JDT.

Pada musim lalu, Ifedayo adalah pemain Selangor FC sebelum berhijrah ke Melaka United selepas dikatakan gagal mencapai persetujuan gaji untuk sambungan kontrak pada musim ini.

Penyerang import dari Nigeria itu akhirnya menyertai Melaka United pada musim ini. Namun pendedahan Berita Harian yang memetik kata-kata Ketua Jurulatih Melaka United, Asri Ninggal agak mengejutkan.

 

Dalam laporan tersebut Asri mendedahkan Melaka United tidak dapat menurunkan tiga tonggak utamanya untuk perlawanan menentang JDT yang akan berlangsung pada malam ini.

Ini kerana ketiga-tiga pemain tersebut adalah pemain pinjaman daripada JDT. Tiga pemain yang dimaksudkan adalah pemain pertahanan, Fadli Shas, Syazwan Andik, dan juga Ifedayo.

Pendedahan Ifedayo sebagai pemain pinjaman bermaksud kontrak dan parent club penyerang berusia 31 tahun itu sebenarnya adalah JDT.

Benar atau tidak?

Sejauh mana kebenaran Ifedayo adalah pemain JDT sebenarnya tidak dapat dikenal pasti.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada penafian dikeluarkan oleh pihak Melaka United mahu pun JDT. Dan sekiranya laporan tersebut tidak benar, agensi berita tersebut setakat ini turut belum tampil dengan sebarang kenyataan.

Sudah tentu laporan sebegini akan menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan peminat bola sepak tempatan.

Walaupun secara teknikalnya, mana-mana kelab dibenarkan untuk memiliki seberapa ramai pemain termasuk pemain import, setiap kelab bagaimana pun hanya boleh mendaftarkan jumlah pemain seperti yang telah ditetapkan oleh MFL setiap musim.

Pada musim lalu, Ifedayo dilaporkan telah berjaya mendapatkan pasport Bahrain. Ini menjadikan pemain import seperti Ifedayo amat bernilai.

Dengan passport Bahrain yang dipegangnya, Ifedayo boleh didaftarkan sebagai pemain import Asia. Itulah perancangan pihak pengurusan Selangor ketika pemain itu masih bersama mereka.

Ifedayo bagaimana pun kekal selama tiga musim sahaja sebelum menyertai Melaka pada musim ini.

Kongsi artikel ini