Adidas Gagal Bayar Tajaan Kelab Brazil, Man United Kekal Tenang

Manchester United kekal tenang dan menolak kemungkinan tidak akan menerima bayaran tajaan berjumlah £75 juta setahun disebabkan oleh masalah kewangan yang dihadapi oleh Adidas.

Pada 2015, Adidas mengikat Manchester United dengan perjanjian bernilai £750 juta selama 10 tahun, dengan bayaran sebanyak £75 juta pada setiap musim.

Namun demikian, syarikat pengeluar pakaian dan peralatan sukan terkemuka yang berpengkalan di Jerman itu kini sedang berhadapan dengan krisis kewangan akibat penularan wabak global.

Dalam laporan kewangan pada tahun lalu, Adidas dilaporkan mempunyai urusniaga berjumlah £29.92 billion dan memiliki keuntungan tunai sebanyak £873 juta di dalam bank.

Namun syarikat tersebut kini masih di dalam peringkat perbincangan untuk suntikan dana secara pinjaman sebanyak £900 juta sehingga £1.75 billion.

Baru-baru ini syarikat tersebut turut dilaporkan gagal membayar kelab Brazil, Flamengo tajaan berjumlah £1.5 juta, sebelum mengesahkan bayaran terpaksa ditangguhkan akibat krisis kesihatan dunia.

Adidas turut telah memaklumkan kelab-kelab lain di Brazil yang berada di bawah tajaan mereka seperti Cruizeiro, Internacional dan Sao Paulo, bahawa kelewatan bayaran turut akan berlaku kepada mereka.

Keadaan kewangan Adidas menimbulkan keraguan mengenai bayaran yang sepatutnya mereka jelaskan kepada klien-klien gergasi lain seperti Manchester United.

Namun menurut Mirror, sumber dalaman dari United yakin bayaran itu akan dijelaskan pada masa yang sepatutnya, dan kelab tersebut tidak akan terkesan secara kewangan.

“Kami tidak ada dihubungi oleh Adidas mengenai perkara itu, yang juga bermakna kontrak tersebut akan terus dipatuhi.

“Maka kami tidak menjangkakan sebarang penundaan terhadap sebarang bayaran yang sepatutnya diterima.”

Selain Manchester United, beberapa kelab Liga Perdana Inggeris lain turut menerima tajaan dari Adidas.

Arsenal misalnya mulai bekerjasama dengan jenama tersebut pada musim panas lalu dengan perjanjian bernilai  £60 juta setahun.

Kelab-kelab lain yang turut menyarung jenama sama adalah Sheffield United, Watford dan juga Wolves.

Kongsi artikel ini