Ada Komuniti Islam Yang Besar Dan Carl Lewis, Houston Jadi Pilihan Utama Azeem Fahmi

Pelumba pecut negara dan pemegang rekod kebangsaan di dalam acara 100 meter, Muhammad Azeem Fahmi disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik sahaja kembali ke tanah air semalam.

Sebagai seorang anak, sudah tentu perkara pertama yang dilakukan oleh Azeem adalah untuk berjumpa dengan kedua-dua ibu bapanya yang menjadi tunjang kekuatan pelari muda itu ketika merekodkan catatan masa 10.09 saat (rekod baharu kebangsaan) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia baru-baru ini.

Catatan 10.09 saat yang dihasilkan oleh Azeem di pusingan saringan acara 100 meter itu memecah rekod Khairul Hafiz Jantan yang sebelum ini menghasilkan catatan masa 10.16 saat di temasya SUKMA yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada 2016.

Houston jadi pilihan utama

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Azeem yang juga merupakan pelajar cemerlang SPM 2021 apabila memperolehi 6A di dalam peperiksaan tersebut dilaporkan bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Selain daripada mengejar kejayaan di dalam bidang akademik, perancangan melanjutkan pelajaran ke luar negara juga adalah untuk membenarkan bekas pelajar SMK Gunung Rapat itu untuk mendapatkan latihan berkelas dunia daripada jurulatih pecut berkaliber.

Sebelum ini dilaporkan Azeem telah mendapat tiga tawaran daripada tiga universiti daripada Amerika Syarikat. Antaranya adalah di Houston, Minnesota, dan Oregon.

Cadangan tersebut bagaimanapun masih di dalam peringkat perbincangan bersama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukan universiti yang terbaik untuk dirinya

Pilihan Azeem

Bercakap kepada portal HarimauMalaya semalam, Azeem sempat berkongsi mengenai pilihan beliau untuk melanjutkan pelajaran selepas ini.

“Banyak offer diterima. Saya perlu bincang dengan family dan coach. Tapi yang bermain di fikiran saya adalah antara Houston dan Auburn,” katanya.

Menurut Azeem, Houston menjadi pilihan utama kerana adanya komuniti Islam yang besar di tempat itu. Melanjutkan pelajaran di Universiti Houston juga bermakna Azeem akan dibimbing oleh legenda pecut dan bekas pemenang sembilan pingat emas Sukan Olimpik Amerika Syarikat, Carl Lewis.

Universiti Auburn yang terletak di Alabama pula dikenali sebagai salah sebuah universiti terkenal dunia kerana pencapaian akademik yang baik.

Melihat peluang berlatih di bawah kendalian Carl Lewis, Azeem juga membulatkan tekad untuk mencipta sejarah menjadi pelari pertama dari Malaysia yang melakukan larian di bawah 10 saat di dalam masa terdekat.

Kongsi artikel ini