ACL 2022: Arif Aiman Di Dalam Senarai Lima Pemain Paling Banyak Cipta Peluang

Pemain sayap JDT, Arif Aiman menjadi antara lima pemain yang mencipta peluang terbanyak di pertandingan AFC Champions League (ACL) pada musim ini.

Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh media sosial rasmi pertandingan elit kelab-kelab Asia itu, Arif telah menghasilkan 11 peluang pada musim ini.

Ini bermakna Arif berjaya menghasilkan purata 1.83 peluang daripada enam penampilan yang dilakukannya di pusingan peringkat kumpulan pertandingan tersebut setakat ini.

Mendahului senarai tersebut adalah bintang import Daegu FC dari Brazil, Bruno Lamas yang berjaya mencipta 23 peluang.

Ini diikuti oleh pemain tengah Kitchee, Cleiton yang mencipta 16 peluang.

Seperti Arif Aiman, dua lagi pemain iaitu Maxime Lestienne dan pemain sayap Urawa Reds, Ken Iwao masing-masing telah mencipta 11 peluang sepanjang pertandingan peringkat kumpulan pada musim ini.

JDT mencipta sejarah tersendiri di pertandingan ACL pada musim ini apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah, sekaligus menjadi pasukan pertama dari negara ini yang berbuat demikian.

Juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali berturut-turut itu akan berhadapan Urawa Reds di Stadium Saitama, Jepun pada pertengahan Ogos hadapan.

Berdasarkan statistik yang dikongsi seperti di atas, ini bermakna kita akan menyaksikan dua pemain daripada senarai di atas – Ariff Aiman dan Ken Iwao – bakal berhadapan satu sama lain.

Arif Aiman sebelum ini memecah rekod JDT sendiri apabila tampil sebagai pemain termuda yang pernah melakukan penampilan bersama kelab itu di ACL pada musim lalu.

Kongsi artikel ini