ACL 2022/23: JDT Sah Akan Bertandang Ke Stadium Saitama Berhadapan Urawa Reds

Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sah akan bertandang ke Stadium Saitama untuk perlawanan pusingan kalah mati berhadapan Urawa Reds.

Ini merupakan kali pertama JDT mara ke pusingan kalah mati pertandingan bola sepak elit peringkat kelab Asia.

Ketika saingan peringkat kumpulan yang diadakan secara berpusat di Johor, JDT muncul juara Kumpulan I, menafikan kelab yang lebih berpengalaman dan bekas juara seperti Kawasaki Frontale (Jepun), Ulsan Hyundai (Korea Selatan), dan Guangzhou FC (China).

Venue untuk perlawanan pusingan kalah mati membabitkan 16 pasukan terbaik Asia disahkan sebentar tadi melalui satu kenyataan oleh AFC.

Selain daripada perlawanan membabitkan JDT vs Urawa Reds, beberapa perlawnanan lain membabitkan perlawanan Daegu FC vs Jeonbuk Hyundai Motors, BG Pathum vs Kitchee FC, dan Vissel Kobe vs Yokohama Marinos turut akan diadakan di venue yang sama.

Ia pasti menjadi perlawanan yang penuh berliku buat skuad kendalian Benjamin Mora di pusingan kalah mati nanti kerana beraksi di arena milik Urawa Reds.

Stadium Saitama sebenarnya bukanlah stadium yang asing untuk perlawanan peringkat antarabangsa dan dianggap memiliki antara padang terbaik di Jepun.

Berkapasiti 63,700 tempat duduk, stadium tersebut siap dibina semula pada September 2001, khusus untuk penganjuran Piala Dunia 2002.

Turut digunakan sebagai venue untuk acara bola sepak Sukan Olimpik 2020 yang lalu, Stadium Saitama turut pernah menganjurkan tiga perlawanan akhir AFC Champions League pada 2007, 2017 dan 2019.

Ia adalah stadium bola sepak terbesar khusus untuk penganjuran perlawanan bola sepak di Jepun pada hari ini.

 

Kongsi artikel ini