Achraf Hakimi: Kisah Di Sebalik Kucupan Seorang Ibu Yang Sanggup Melakukan Apa Sahaja Demi Impian Anaknya

Tatkala Maghribi mengejutkan dunia bola sepak dengan kemenangan 2-0 ke atas Belgium, aset paling berhaga di bahagian pertahanan, Achraf Hakimi yang beraksi bersama Lionel Messi di PSG berlari ke arah tepi padang untuk bertemu dengan ibunya yang setia mengibarkan bendera negaranya sepanjang 90 minit perlawanan.

Ibunya yang jelas kelihatan sudah tua dimamah usia pantas mencium pipi anaknya, dan Hakimi membalasnya dengan satu kucupan di dahi ibunya. Seperti sudah rutin, Hakimi kemudian menanggalkan jersi dipakainya dan dihadiahkan kepada ibunya. Foto menyentuh hati itu kemudian menjadi viral – dan akan dianggap sebagai salah satu foto ikonik Piala Dunia yang akan dikenang zaman berzaman.

Pengorbanan seorang ibu

Di sebalik semua itu, sebenarnya ada kisah yang lebih menyentuh perasaan. Ibu Hakimi, Saida Mou suatu ketika dahulu pernah bekerja sebagai pembantu rumah membersihkan rumah orang-orang berada di Sepanyol demi memastikan anak-anaknya mampu memiliki kehidupan yang senang di kemudian hari.

Suaminya pula seorang penjual jalanan. Bola sepak akan mengubah kehidupan mereka. Hakimi sendiri akan berkahwin dengan seorang pelakon muda berbakat Sepanyol, Hiba Abouk.

Pasangan tersebut melakukan penampilan di majalah Vogue hanya beberapa bulan lalu. Tetapi segalanya bermula di jalanan sekitar Madrid.

“Ibu saya pergi dari rumah ke rumah untuk bekerja sebagai pekerja pembersihan, dan ayah saya berniaga di jalanan. Kami datang dari keluarga sederhana yang sentiasa bergelut untuk mendapatkan wang perbelanjaan untuk meneruskan kehidupan,” kata Achraf Hakimi dalam satu temubual bersama Bundesliga sebelum ini.

“Hari ini saya berjuang demi mereka. Mereka telah mengorbankan segalanya untuk saya. Mereka sanggup mengabaikan pelbagai perkara yang sepatutnya diberikan kepada abang yang lain demi melihat saya untuk berjaya.

Asal usul dan salasilah kedua-dua ibu bapanya membenarkan Hakimi yang lahir di Sepanyol untuk mewakili Maghribi.

Di Madrid segalanya bermula

Pada suatu hari ketika berusia 7 tahun, Hakimi yang sememangnya sudah mulai membuktikan diri pada peringkat usianya di kelab yang disertainya menerima sepucu surat di kediamannya.

Ayahnya amat terkejut kerana surat itu datangnya daripada Real Madrid. Hakimi sendiri tidak mempercayainya.

“Saya ingat ia adalah penipuan dan ada pihak yang sengaja mereka cerita. Sehinggalah ayah saya menarik kaki saya.”

Tidak lama selepas itu beliau ditawarkan kontrak; kehidupan mulai bertambah baik untuk Hakimi, dan kedua-dua ibu bapanya terus bekerja keras demi memastikan segala keperluan Hakimi menjadi pemain bola sepak profesional menjadi realiti suatu hari nanti.

Digantung FIFA

Dan apabila beliau begitu hampir untuk beraksi buat kali pertama untuk Los Blancos, FIFA menggantung Hakimi pada 2016.

Ini kerana Hakimi disiasat sebagai pemain bawah umur dan dianggap bukan warga Sepanyol walaupun lahir di Madrid dan keseluruhan kehidupannya selama itu hanya bermain bersama skuad simpanan dan remaja Real Madrid.

Selepas sekian lama, kes beliau digugurkan. Seorang pencari bakat, Rabie Takassa kemudian mendedahkan kepada Bleacher Report: “Saya berpendapat FIFA hanya melakukan semakan kerana namanya aneh dan mempunyai asal usul imigran, tetapi lupa di mana beliau dilahirkan.

“Itulah yang berlaku kepada beliau – mereka melihat seorang anak muda dengan nama asal Maghribi dan beliau kemudian dihukum walaupun ia tidak sepatutnya sedemikian.”

Perjalanan karier Hakimi

Selepas dilepaskan FIFA, Hakimi mendapat mentor yang hebat di dalam skuad utama Real Madrid, iaitu bek kiri dari Brazil, Marcelo. Pada 2017, Hakimi mulai melakukan penampilan bersama skuad senior Los Blancos.

Hakimi kemudian dipinjamkan kepada Borussia Dortmund di mana beliau begitu menyerlah, membantu kelab tumpangannya itu menjuara Piala Super Jerman selain gelaran individu Pemain Muda Terbaik Afrika selama dua tahun berturut-turut.

Dan selepas menyertai Inter Milan, Hakimi mengubah haluan ke Paris untuk membentuk gandingan bersama Lionel Messi.

“Membentuk hubungan teknikal bersama dia [Messi] adalah mudah! Saya berikan bola, saya berlari dan dia akan menghantar kembali bola ke tempat yang sepatutnya.

“Saya agak terkejut dengan cara Messi berinteraksi. Dia sebenarnya sangat mudah orangnya, pendiam…. apa lagi saya boleh katakan? Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan untuk saya [beraksi bergandingan dengan Messi].

“Saya telah beraksi bersama ramai pemain hebat dan satu-satunya yang sering saya rindui adalah Messi! Saya bangga kerana turut dibangunkan bersama seorang pemain yang begitu berbakat.

“Untuk terus maju ke depan, saya akan mengkaji bagaimana beliau menjalani latihan, bagaimana beliau bermain.”

Tidak akan lupa pengorbanan orang tua

Walaupun sudah berada di tahap ini, Hakimi tidak akan sesekali mahu melupakan jasa kedua-dua orang tuanya. Di Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia, Hakimi turut melakukan perkara serupa memberi kucupan kepada ibunya selepas setiap perlawanan.

“Bukannya saya amat memerlukan, tetapi kedua-dua orang tua saya sentiasa memberikan apa yang mereka mampu untuk saya dan adik beradik yang lain,” tambah beliau lagi.

Ketika bercakap kepada Marca dalam satu temubual berasingan, Hakimi turut pernah memdedahkan bagaimana ibu bapanya berkorban bahasa baharu demi memastikan mereka mampu membesarkan anak-anak.

Hakimi turut menjelaskan sebab mengapa memilih menyarung jersi Maghribi ketika ditemubual oleh Vogue.

“Di Paris anda bermain untuk pasukan yang mewakili bandar itu, tetapi ia tidak sama apabila anda bermain untuk pasukan negara anda.

“Berjuta-juta penduduk akan memberikan sokongan kerana anda beraksi untuk mereka. Ia seperti anda bermain untuk datuk dan juga moyang anda. Anda bermain untuk ramai orang. Sangat ramai rakyat Maghribi.”

Kongsi artikel ini