“A Champion And A Warrior” – TMJ Terharu Lihat Reaksi Dan Pengorbanan Shane Lowry

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) meluahkan rasa terharu terhadap pengorbanan yang dilalui oleh Shane Lowry untuk pasukan itu.

Pemain import dari Australia itu mengalami kecederaan patah siku selepas pelanggaran dengan pemain sayap Kedah Darul Aman FC, Al-Hafiz Harun ketika pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman di dalam saingan Liga Super dua hari yang lalu.

Insiden yang berlaku pada minit ke-62 perlawanan tersebut memaksa Shane menerima rawatan awal di atas padang selema beberapa minit, sebelum digantikan oleh Aidil Zafuan Abdul Razak.

Pada ketika Shane dikeluarkan, JDT sedang mendahului 2-1 selepas Leandro Velasquez meletakkan pasukan itu di hadapan hasil sepakan penalti selepas Syafiq Ahmad dikasari di dalam kawasan kotak penalti.

Kecederaan tersebut menyebabkan tonggak pertahanan JDT itu terpaksa mengalami pembedahan segera di Johor Bahru pada hari berikutnya.

Melalui satu hantaran di IG Story, TMJ turut berkongsi sebuah foto memaparkan reaksi Shane Lowry yang tersenyum kegembiraan selepas mendapat perkhabaran perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 3-1 kepada JDT.

“Walaupun ketika sedang menderita kerana kesakitan, inilah reaksi beliau [Shane Lowry] selepas mendapat tahu JDT berjaya membawa pulang 3 mata.

“Inilah maksud sebenar JDT.

“Tidak pernah menyerah kalah, dan setiap perlawanan sentiasa penting.

“Sang juara dan juga seorang pahlawan. Sangat mengasihi anda sahabat,” tulis TMJ.

Perlawanan pada Selasa lalu menyaksikan JDT berjaya melebarkan rekod tanpa kalah di dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Ketinggalan 1-0 kepada Kedah melalui jaringan Ronald Ngah Wanja seawal minit ke -12 perlawanan, JDT berjaya menyamakan kedudukan melalui Bergson da Silva pada minit ke-37 sebelum pemain import dari Brazil itu menerima layangan kad merah kerana menumbuk kepala Rodney Calvin.

Beraksi dengan 10 pemain pada sepanjang babak kedua perlawanan, JDT bagaimanapun berjaya menambah dua lagi jaringan menerusi sepakan penalti oleh Leandro dan rembatan kencang Afiq Fazail dari dalam kotak penalti.

Kemenangan tersebut juga bermakna skuad Harimau Selatan meneruskan rekod tanpa kalah 47 perlawanan di tempat lawan.

Kali terakhir JDT tewas di tempat lawan di saingan Liga Super adalah pada 11 Februari 2018, apabila ditundukkan 1-0 oleh KL City FC.

Kongsi artikel ini