7 Perlawanan Barcelona Dakwa Ada Konspirasi Sengaja Memihak Kepada Real Madrid

Real Madrid semakin menghampiri kejuaraan La Liga selepas beberapa kali Barcelona keciciran mata.

Barcelona baru-baru ini pula menuduh beberapa keputusan pengadil dan VAR seolah-olah memihak kepada Real Madrid.

Enam daripada tujuh perlawanan yang dilalui oleh Los Blancos sejak saingan bersambung kembali didakwa oleh Barcelona sebagai meragukan.

Skuad kendalian Zinedine Zidane tidak dinafikan tampil lebih konsisten sejak saingan bermula kembali – menjaringkan lebih banyak gol, dan jarang dibolosi pada setiap perlawanan.

Berikut adalah perlawanan-perlawanan Real Madrid yang dianggap meragukan, sekurang-kurangnya untuk Barcelona.

Real Madrid vs Eibar

Skuad kendalian Zidane kembali ke La Liga dengan kemenangan 3-1 ke atas Eibar.

Gol awal Tony Kroos telah diberikan pengadil walaupun VAR sebelum itu menunjukkan Karim Benzema berada di posisi offside pada bahagian awal gerakan.

Eibar kemudiannya terpaksa menggigit jari apabila jaringan Pedro Bigas dibatalkan selepas didakwa offside oleh VAR – walaupun rakaman menunjukkan larian beliau selari dengan pemain pertahanan terakhir.

Real Madrid vs Valencia

Real Madrid menang 3-0 dalam perlawanan ini hasil dua jaringan Karim Benzema dan satu jaringan Asensio.

Namun sebelum Benzema meletakkan Real Madrid di hadapan pada minit ke-61, Rodrigo Moreno terlebih dahulu mengegegarkan jaring gawang Thibout Courtois.

VAR membatalkan gol tersebut kerana rakan penyerang Maxi Gomez dikatakan offside – walaupun tiada niat dan sentuhan terhadap bola dilakukan,

Gomez dikatakan berada pada kedudukan selari dengan Rapahel Varane. Kontroversi gol tersebut turut mendorong Arturo Vidal berkongsi imej di media sosial dengan emoji ketawa.

Real Madrid vs Real Sociedad

Perlawanan ini didakwa paling banyak kontroversi yang memihak kepada Real Madrid sepanjang tempoh 90 minit.

Pertama, Real Madrid diberikan penalti yang disempurnakan Sergio Ramos selepas Vinicius Junior dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Diego Llorente dengan kontak minima.

Kemudian gol Adnan Januzaj untuk Sociedad dibatalkan kerana Mikel Merino didakwa offside sehingga menyebabkan pandangan Courtois terhalang.

Kemudian gol Benzema tidak dikira oleh pengadil kerana terkena tangan pemain Perancis itu. Semakan VAR kemudian menukar keputusan tersebut dan mendakwa bola tidak terkena tangan.

Real Madrid vs Real Mallorca

Dalam perlawanan ini Vinicius Jr membuka tirai jaringan untuk Los Blancos menang 2-0.

Namun jaringan tersebut dibantu oleh kekasaran Dani Carvajal terhadap Dani Rodriguez, insiden yang pengadil terlepas pandang.

Tiada semakan VAR dilakukan. Pelik?

Atletico Bilbao vs Real Madrid

Ini adalah perlawanan terkini membabitkan Real Madrid yang didakwa meragukan.

Ramos sekali lagi menjadi hero skuad kendalian Zidane apabila menyempurnakan penalti kemenangan. Sepakan dibuat selepas Dani Garcia didakwa memijak Marcelo.

Tiada masalah atau pun sebarang keraguan ketika Real Madrid diberikan penalti itu.

Namun demikian tindakan Ramos memijak Raul Garcia tidak dipedulikan VAR walaupun melakukan kesalahan yang serupa.

Sevilla vs Barcelona

Ini pula membabitkan perlawanan pertama Barcelona ketika berhadapan Sevilla. Ia adalah perlawanan pertama sebaik sahaja saingan bersambung kembali.

Perlawanan berkesudahan tanpa jaringan dan menjadi perlawanan pertama skuad Quique Setien keciciran mata. Lionel Messi dikasari oleh Diego Carlos dalam perlawanan ini dengan satu terjahan keras.

Skuad Setien percaya Carlos seharusnya dilayangkan kad merah kerana tindakannya itu.

Celta Vigo vs Barcelona

Satu lagi perlawanan menyaksikan Barcelona keciciran dua mata apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Celta Vigo.

Gol penyamaan Celta dijaringkan pada minit akhir oleh Iago Aspas.

Gol berpunca daripada direct free-kick yang pada pendapat Barcelona tidak sepatutnya diberikan selepas Rafinha didakwa dikasari oleh Gerard Pique.

Penutup

Benarkah wujud konspirasi oleh La Liga, pengadil dan VAR untuk membenarkan Real Madrid muncul juara.

Sebagaimana mudah untuk kita menyangkal, ia tidak mudah untuk membuktikan dakwaan sedemikian.

Terdapat juga keputusan yang subjektif. Janganlah bila kalah, maka keluar segala teori konspirasi. Bila dah menang, hilang pula segala teori-teori tu kan?

Kongsi artikel ini