7 Pemain Futsal Selangor MAC Disambar JDT?

Pasukan futsal Selangor MAC secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada 7 pemain pasukan itu.

Pemain-pemain yang dimaksudkan adalah Hadee Taufiq, Azri Rahman, Muhamad Ekmal Sharin, Muhammad Saad Sani, Mod Azwan Ismail, Mohamad Danial Abdul Dain, dan Firdaus Ambiah.

Pengesahan tujuh pemain tersebut bakal meninggalkan Selangor MAC disahkan oleh pasukan itu melalui satu muat naik di Instagram baru-baru ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Selangor MAC Futsal (@selangormac)

Berdasarkan muat naik tersebut, Selangor MAC seolah-olah mengesahkan kesemua pemain tersebut bakal berhijrah ke pasukan lain pada musim hadapan.

“Terima kasih dan selamat berhijrah.

“Semoga kalian dirahmati Allah SWT dan diberi kesihatan yang baik di tempat baharu. Kenanglah masa-masa kita bersama sepanjang beberapa tahun.

“Walaupun tiada liga berlangsung selama 2 tahun pandemik, kita masih utuh berpayung di bawah payung Merah Kuning ketika itu.

“Kini jodoh perjalanan kita berakhir di sini, datang akan pergi, itulah realiti.

“Akhir kata, semoga kita bertemu di lain hari. Ini hadiah khas min & warga Selangor MAC buat kalian. Sayonara,” tulis Selangor MAC dalam kenyataan tersebut.

Tidak dapat dipastikan pasukan manakah yang bakal disertai oleh ketujuh-tujuh pemain tersebut.

Namun khabar angin dan spekulasi semasa turut mengaitkan kesemua tujuh pemain dengan pasukan baharu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal melakukan penampilan sulung di Malaysian Premier Futsal League (MPFL 2023).

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Selangor MAC Futsal (@selangormac)

Ketujuh-tujuh pemain merupakan antara tonggak utama Selangor MAC yang muncul juara MPFL 2022, selain turut menamatkan saingan Kejohanan Futsal AFF 2022 di kedudukan ketiga.

Musim hadapan 18 pasukan akan bertanding di MPFL 2023, dan dengan penghijrahan ramai pemain utama ini bermakna Selangor MAC harus merombak skuad sedia ada.

Diundi di dalam Kumpulan B untuk MPFL 2023, Selangor MAC turut berada di dalam satu kumpulan dengan JDT, KL City FC, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Sabah, PFA Odin Sarawak, Shah Alam City, dan Selangor TOT United.

Kongsi artikel ini