7 Kapten Legenda Sepanjang Zaman Di Liga Malaysia

Seorang kapten pasukan mempunyai peranan yang amat penting di dalam sesebuah pasukan bola sepak.

Malah ia boleh dianggap mempunyai kepentingan yang sama seperti memiliki seorang jurulatih yang berkaliber.

Seorang kapten berperanan memimpin pasukannya di atas padang, dan merupakan suara kepada pasukan ketika berada di dalam padang.

Dari era semi pro sehinggalah ke era Liga Super Malaysia, saingan domestik negara telah melahirkan ramai kapten-kapten pasukan yang berkaliber.

Berikut adalah antara tujuh kapten pasukan yang paling berpengaruh pernah dilihat di saingan Liga Malaysia.

1. Khairul Azman Mohamed (Sabah)

Khairul Azman Mohamed beraksi bersama dua pasukan sepanjang karier profesionalnya. Beliau mulai menyertai pasukan negeri kelahirannya Pahang sejak usia remaja pada 1985.

Penjaga gol tinggi lampai tampil lebih 300 kali sepanjang 10 tahun karier bersama skuad Tok Gajah.

Pada 1995 Khairul kemudiannya berhijrah ke Sabah, dan membantu pasukan dari Borneo itu menjuarai Piala FA pada musim pertamanya.

Musim 1996, Khairul membantu Sabah muncul juara Liga Perdana Malaysia pula.

Khairul Azman Mohamed adalah pemain uang memiliki pakej yang lengkap dari segi fizikal termasuk saiz sepasang tangan dan depaan yang agak jarang dimiliki oleh penjaga gol tempatan kita termasuk di Asia.

Selain daripada ketangkasan luar biasa di hadapan gawang, Khairul Azman juga mempunyai watak kepimpinan yang tinggi sehingga turut mengambil peranan sebagai kapten pasukan ketika bersama Sabah.

Walaupun ketika belum diberikan peranan sebagai kapten, suara beliau sudah jelas lantang memberi arahan kepada barisan pertahanan ketika aksi di dalam padang.

Selain daripada kejuaraan Piala FA pada 1995, Khairul Azman turut membantu Sabah muncul naib juara Piala Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada 1996, 2002, dan 2003.

2. Ahmad Shahrul Azhar (Perak)

Bermain di posisi tengah dengan berjersi No.7, penyokong Perak TBG pasti dapat meneka dengan mudah gambaran yang merujuk kepada bekas kapten ikonik kesayangan mereka, Ahmad Shahrul Azhar.

Pernah beraksi bersama Negeri Sembilan selama semusim pada 1998, Ahmad Shahrul Azhar kembali menyertai Perak di bawah bimbingan mendiang Karl Heinz Weigang.

Beliau kemudiannya diberikan tanggungjawab untuk memakai lilitan kapten pada 2000 sehingga 2008.

Sepanjang karier di Liga Malaysia, Ahmad Shahrul turut pernah terpalit dengan beberapa kontroversi di atas padang.

Namun di sebalik kontroversi itu tidak ada siapa boleh menafikan kesungguhan dan komitmen sepenuh hati yang beliau berikan untuk pasukan yang diwakili.

Sepanjang menggalas peranan sebagai kapten pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar pernah membantu skuad Seladang muncul juara Piala Malaysia pada 2000.

3. Shukor Adan (Selangor, N.Sembilan, Felda United)

Di kalangan penggiat industri bola sepak negara, siapa yang tidak mengenali Shukor Adan. Malah beliau boleh disifatkan antara yang istimewa di kalangan senarai kapten di dalam artikel ini.

Pada usia 40 tahun pada hari ini, pemain ini masih beraksi dengan penuh semangat dan kegigihan di atas padang, dan merupakan kapten pasukan Felda United pada hari ini.

Karier Shukor bermula bersama Negeri Sembilan, namun antara pencapaian terbaik sebagai kapten adalah apabila membantu Selangor mencipta kejayaan treble, menjuarai Liga Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005.

Selepas kembali menyertai Negeri Sembilan, pemain ini jelas masih bernafsu untuk mengejar kejuaraan apabila turut membantu skuad Hobin Jang Hobin muncul juara Piala Malaysia pada 2009.

Pada 2011, Shukor Adan dan Negeri Sembilan sekali lagi muncul juara Piala Malaysia, menghalang Terengganu bergelar juara berganda pada musim tersebut setelah pasukan pantai timur itu muncul juara Piala FA.

Shukor kemudiannya bersama Felda United, Melaka United dan kini merupakan antara tonggak berpengalaman yang memperkuatkan saingan skuad warga kota.

Shukor juga pernah bergelar kapten skuad kebangsaan ketika masih aktif sebagai pemain negara di antara 2001-2014. Jelas sekali pemain ini boleh kita gelar sebagai ‘otai masih berbisa’, dan dilahirkan untuk menjadi seorang kapten (‘born to be a leader’).

4. Jalaluddin Jaafar (Pahang)

Selain daripada Shahzan Muda pada 2009, pemain ini hanya pernah beraksi untuk Pahang sepanjang karier profesionalnya di Liga Malaysia.

Jalaluddin dikenali sebagai pemain pertahanan kental di posisi bek kanan, tetapi karier beliau sebenarnya bermula sebagai seorang pemain sayap kanan, dan di posisi tengah bersama skuad SUKMA Pahang pada 1996.

Jalaluddin Jaafar adalah watak yang sangat dihormati sepanjang bersama Pahang.

Terkenal dengan daya kepimpinan yang tinggi, beliau mempunyai kebolehan membaca gerakan lawan yang sangat baik.

Sepanjang bersama Pahang, Jalaluddin telah memenangi kesemua pertandingan domestik yang dipertandingkan di dalam negara.

Pernah membantu skuad Tok Gajah bergelar juara liga pada 1999 dan 2004, Jalaluddin turut memiliki dua kejuaraan Piala FA pada 2006 dan 2014; selain kejuaraan Piala Malaysia pada 2013 dan 2014.

Jalaluddin Jaafar juga pernah menjulang  Piala Sumbangsih pada 2014 untuk melengkapkan koleksi di dalam kabinet, sebelum mengumumkan persaraan pada 2015.

Secara keseluruhan Jalaluddin mewarnai liga bola sepak tempatan selama 18 tahun.

Secara keseluruhan, pemain ini telah tampil lebih daripada 400 kali dan menjaringkan 6 gol sepanjang tempoh bersama Pahang.

5. Abdul Jalil Ramli (Sarawak)

Memetik kata-kata Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Allahyarham Datuk Taha Ariffin satu ketika dahulu:

“Jalil Ramli adalah seorang budiman, namun berperwatakan seperti seorang jeneral tentera ketika beraksi di atas padang.”

Begitulah perwatakan bekas kapten Sarawak yang sempat kami temui pada tahun lalu.

Selain daripada sikap kepimpinannya di atas padang, kehadiran Abdul Jalil mempunyai kebolehan meniupkan semangat kepada rakan sepasukan yang beraksi di atas padang sehingga digeruni lawan.

Tanyakan sahaja kepada mana-mana pasukan pada era 90a an, terutama ketika bertandang ke Stadium Negeri, Kuching. Kelibat Jalil bersama gandingannya di tengah, Mohd Ali Sapiee sering digeruni lawan kerana dedikasi dan kesungguhan yang ditampilkan.

Jasa beliau sangat besar kepada bola sepak Sarawak. Jalil Ramli merupakan kapten pertama pasukan tersebut yang meletakkan Sarawak berada di peta bola sepak Malaysia apabila membantu Sarawak muncul juara Piala FA 1992.

Kelebihan lain yang dimiliki oleh Jalil Ramli ialah kebolehannya melakukan lontaran jauh, sehingga ada kalanya menghasilkan gol.

Jalil bersara daripada bola sepak selepas membantu Sarawak muncul juara Liga Perdana Malaysia pada 1997.

Beliau turut hampir mencipta sejarah, apabila mengemudi Sarawak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1999 selaku jurulatih, namun dikecewakan oleh Brunei dengan jaringan 2-1.

6. Safiq Rahim (Johor Darul Ta’zim)

Safiq Rahim boleh dianggap sebagai pemain tengah paling lengkap pernah disaksikan di saingan Liga Malaysia. Tidak keterlaluan jika kita katakan Safiq adalah pemain terbaik negara pada generasinya.

Pemain tengah yang sinonim dengan penguasaan JDT di arena bola sepak tanah air ini memulakan karier bersama Selangor pada tahun 2007.

Bersama Selangor Safiq membantu gergasi lembah Klang itu meraih gelaran Liga Super dan Piala FA pada 2009 sebelum mengulagi kejuaraan Liga Super pada musim berikutnya bersama Red Giants.

Karier bola sepak Safiq semakin berkembang apabila menjadi tunjang kejayaan revolusi JDT bermula pada musim 2013.

Selain daripada kejuaraan Piala AFC 2015, kapten JDT ini melengkapkan senarai koleksi kejuaraan pada musim 2017, apabila membantu skuad Harimau Selatan bergelar juara Piala Malaysia.

7. Badhri Radzi (Kelantan)

Karier profesional Badhri Radzi atau lebih mesra dengan panggilan Piya mula mendapat perhatian ketika bersama JPS Kelantan, membantu pasukan tersebut muncul juara Piala FAM.

Cemerlang bersama JPS Kelantan, khidmat Piya kemudiannya ditagih oleh PDRM dan berjaya membantu The Cops bergelar juara Liga Perdana pada musim 2007.

Setelah beberapa tahun berkelana, Piya kembali ke halaman untuk menyertai Kelantan pada 2008, dan dilantik sebagai kapten pada musim berikutnya ketika skuad The Red Warriors itu di bawah bimbingan Peter James Butler.

Era Piya mengetuai Kelantan dianggap sebagai zaman emas bola sepak Kelantan.

Juara Liga Super Malaysia pada 2011 dan 2012; kejuaraan Piala Malaysia pada 2010 dan 2012; dan Piala FA pada 2012 dan 2013, Piya dianggap pemain kelahiran Kelantan yang paling berjaya dari segi koleksi kejuaraan.

Rumusan

Anda mungkin mempunyai senarai kapten pasukan Liga Malaysia yang anda anggap terhebat pernah disaksikan. Kongsikan dengan kami. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

Kongsi artikel ini