7 Import Terawal Asia Tenggara Yang Pernah Merancakkan Saingan Liga Malaysia

Dari era semi pro sehingga ke era Liga Super pada hari ini, saingan bola sepak tempatan pernah menyaksikan kehadiran nama-nama besar dari seluruh dunia mewarnai kancah saingan bola sepak tempatan.

Tidak ketinggalan adalah bintang-bintang bola sepak dari Asia Tenggara, termasuk dari Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Myanmar.

Berikut adalah antara pemain import dari rantau Asia Tenggara yang berstatus legenda, dan merupakan antara yang terawal pernah beraksi di negara ini.

1. Piyapong Pue-On (Thailand)

Jika anda adalah penyokonh pasukan Pahang sejak lewat 80-an, nama Piyapong Pue-On pasti bukan nama yang asing,

Piyapong Pue-On adalah pemain terawal dari Thailand yang tampil di saingan Liga Malaysia pada 1986-1989 untuk skuad Tok Gajah. Malah beliau adalah pemain import terawal yang tampil di saingan tempatan.

Sebelum beraksi bersama Pahang, Piyapong Pue-on terlebih dahulu berkelana di Korea Selatan bersama Lucky-Goldstar FC (kini adalah Seoul FC), mencetak sejumlah 17 gol daripada 34 penampilan daripada tahun 1984-1986.

Sepanjang bersama Pahang, Piyapong telah tampil di dalam 61 perlawanan dan menjaringkan sejumlah 70 gol dan membantu Pahang menjuarai saingan Liga pada 1987.

Di negaranya Piyapong diberikan gelaran ‘Jaded-Faced Executioner’ kerana ketajaman penyudahnya. Untuk rekod, Piyapong tampil  di hadapan gawang lawan.

Dari 100 penampilan untuk skuad Gajah Perang, beliau turut mencetak 70 gol di antara 1981-1997.

Selain daripada bergelar pemain bola sepak, Piyapong  juga merupakan bekas pegawai Tentera Udara Diraja Thailand, selain turut pernah menceburkan diri dalam dunia perfileman.

Beliau pernah tampil di dalam sebuah filem Thailand yang berjudul ‘Kerd ma lui’ yang bererti ‘Born To Fight’ dalam Bahasa Inggeris.

2. Ristomoyo Kassim (Indonesia)

Selangor merupakan salah sebuah pasukan di dalam kancah bola sepak tanah air yang sering menjadi persingahan bintang import dari Indonesia.

Pemain pertama daripada negara republik berkenaan yang menyarung jersi Selangor ialah Ristomoyo Kassim.

Ristomoyo bukan sahaja merupakan pemain asing pertama dibawa masuk oleh Selangor. Pemain pertahanan antarabangsa Indonesia itu juga adalah antara pemain import terawal yang beraksi di kancah Liga Malaysia pada ketika itu.

Ristomoyo bolehlah dianggap antara pemain asing yang bertuah kerana turut pernah beraksi di samping legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Pada musim 1986, Ristomoyo turut membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia apabila membenam cabaran Johor FA 6-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka pada ketika itu.

Ristomoyo turut menyumbang satu gol dalam perlawanan akhir tersebut dengan satu rembatan yang mengelirukan penjaga gol Johor.

Ristomoyo turut pernah menyarung jersi Kelantan selepas meninggalkan Selangor..

3. V. Sundramoorthy (Singapura)

V. Sundrammorthy tiba di Kedah dengan reputasi pernah beraksi bersama kelab Eropah. Bekas pemain FC Basel ini dibawa menyertai pasukan Kedah pada 1989 dan beraksi bersama skuad Hijau Kuning selama dua musim.

Era tersebut adalah era kebangkitan pasikan Kedah dalam kancah saingan bola sepak tempatan di nawah pimpinan Allahyarham Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri bin Mohd Akil.

V. Sundramoorthy merupakan seorang pemain tengah menyerang. Beliau berjaya membantu Kedah muncul naib juara Piala Malaysia pada 1989 sebelum muncul juara Piala Malaysia bersama negeri jelapang padi itu pada tahun berikutnya.

Dalam perlawnanan akhir Piala Malaysia 1990, V. Sundramoorthy menjaringkan gol pembukaaan pasukan Kedah untuk menewaskan negara kelahirannya, Singapura dengan jaringan 3-1.

Selepas Kedah, V. Sundramoorthy turut beraksi bersama Pahang dan Kelantan sebelum kembali beraksi untuk kelab di Singapura.

Pada 2012 V. Sundramoorthy kembali mewarnai kancah Liga Malaysia. Namun kali ini beliau kembali sebagai ketua jurulatih Lions XII dab berjaya membawa pasukan tersebut menjuarai Liga Super Malaysia pada 2013.

4. Fandi Ahmad (Singapura)

Tidak lengkap jika kita tidak menyenaraikan legenda dan bekas bintang Singapura yang pernah berkelana di Belanda bersama FC Groningen, Fandi Ahmad.

Fandi Ahmad mulai beraksi di kancah saingan Liga Malaysia bersama Kuala Lumpur di antara 1986-1989 sebelum berhijrah ke Pahang pada 1991-1992.

Bersama Kuala Lumpur, Fandi Ahmad telah membantu skuad warga kota menjadi salah sebuah pasukan yang amat digeruni pada era itu dengan deretan pemain bintang seperti Lim Teong Kim, Yap Wai Loon, Azman Adnan dan ramai lagi.

Antara kejuaraan yang pernah diraih oleh Fandi Ahmad bersama Kuala Lumpur ialah juara liga pada 1988 dan kejuaraan Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 1987 dan 1988.

Tempoh tersebut merupakan zaman emas Kuala Lumpur dalam kancah saingan bola sepak tempatan.

5. Kyi Lwin (Myanmar)

Dilahirkan pada tahun 1965, karier bola sepak Kyi Lwin bermula bersama Tentera sebelum beliau menyertai YCDC di Liga Myamnar.

Di antara tempoh itu, beliau disunting oleh Allahyarham Raja Zainuddin Raja Ahmad untuk menyertai pasukan Perak pada 1990 . Skuad Perak pada ketika itu dikendalikan oleh M.Karathu.

Antara kenangan penyokong bola sepak Perak bersama Kyi Lwin ialah apabila pemain itu menjaringkan gol kemenangan Perak di separuh akhir Piala FA pada 1990.

Piala FA 1990 merupakan kali pertama pertandingan tersebut diperkenalkan di kancah saingan bola sepak tempatan.

Perak muncul juara Piala FA pada tahun tersebut, bangkit dari ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Selangor 4-2.

Malangnya Kyi Lwin tidak dapat beraksi di perlawanan akhir Piala FA tersebut selepas disahkan patah tulang jari dalam perlawanan sebelumnya.

Kyi Lwin juga adalah salah seorang daripada anggota skuad Myanmar yang memenangi pingat Perak acara Sukan SEA 1993, selepas ditewaskan oleh Thailand dalam aksi perlawanan akhir.

6. Aung Naing (Myanmar)

Seperti Kyi Liwin, Aung Naing juga adalah antara pemain import dari Myanmar yang beraksi bersama pasukan Perak dari 1990 sehingga 1992.

Aung Naing membentuk gandingan yang mantap bersama-sama seorang lagi pemain import daripada Korea Selatan, Jang Jung dan juga ayam tambatan Perak ketika itu, Azizol Abu Haniffah.

Seperti Kyi Liwin, kejayaan termanis Aung Naing bersama Perak ialah ketika membantu skuad Seladang menafikan Selangor untuk muncul juara Piala FA edisi pertama pada 1990.

Pada ketika Perak ketinggalan 2-0 kepada Selangor. Aung Naing adalah pemain yang bertanggungjawab mengepalai kebangkitan Perak dengan gol sulung pasukannya.

Jaringan Aung Naing itu membantu Perak bangkit untuk menewaskan Selangor dengan jaringan 4-2 untuk muncul juara sulung Piala FA Malaysia pada 1990.

7. Borhan Abu Samah (Singapura)

Pemain kelahiran Singapura, Borhan Abu Samah adalah sebahagian daripada skuad Pahang yang dianggap ‘Galaticos’ pertama Malaysia kerana barisan pemain bintang yang membarisi skuad Tok Gajah pada 1992.

Antara pemain bintang yang membarisi pasukan Pahang pada ketika itu ialah seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan juga pemain kebangsaaan Australia, Alan Davidson.

Merupakan seorang pemain bek kiri, Borhan mendapat gelaran ‘kereta kebal Rusia’ kerana bentesan-bentesan kerasnya.

Borhan juga diakui sebagai antara pemain pertahanan yang ampuh dan sukar dilepasi oleh pemain penyerang lawan pada era itu.

Legenda Pahang dan bekas pemain antarabangsa Singapura ini meninggal dunia akibat kanser hati di usia 34 pada tahun 1999.

Penutup

Selepas tujuh pemain ini, Liga Malaysia terus dibanjiri oleh pemain-pemain dari rantau Asia Tenggara. Bambang Pamungkas, Kiatisuk Senamuang, Harris Harun, dan Faris Ramli adalah antara beberapa pemain yang memberikan impak kepada pasukan masing-masing.

Sudah tentu kita mahu lebih ramai pemain berkualiti dari rantau ini beraksi di negara ini pada masa akan datang.

Kongsi artikel ini