5 Perkara Jadikan Malaysia Bukan Lagi Negara Pilihan Kelab Eropah Untuk Pra Musim

Antara pengisian kandungan oleh syarikat penyiar sukan terkemuka negara, Astro Arena pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah perlawanan-perlawanan klasik melibatkan kelab-kelab gergasi eropah menentang pasukan negara.

Arsenal, Manchester City dan Barcelona adalah antara kelab dari Sepanyol yang pernah berkunjung ke negara ini untuk tujuan perlawanan pra musim.

Kali terakhir gergasi Inggeris Manchester United berkunjung ke Kuala Lumpur ialah pada 2009. Juara La Liga Barcelona berkunjung ke Kuala Lumpur pada 2013.

Chelsea juga berada di ibu negara pada 2014. Manakala juara eropah, Liverpool dan Tottenham Hotspur pula pada 2015. Itulah kali terakhir kelab-kelab utama Eropah mengadakan pra musim di Malaysia – kali terakhir pada lima tahun yang lalu.

Selepas itu kelab-kelab eropah ini seolah-olah menyepikan diri dari berkunjung ke negara ini. Apakah puncanya?

Isu diplomatik antara negara

Malaysia boleh dikategorikan sebagai sebuah negara yang aman damai, walaupun memiliki penduduk berbilang kaum.

Malah negara kita sering menjadi rujukan dunia sebagai sebuah negara yang boleh hidup saling bertoleransi di sebalik perbezaan warna kulit, pegangan agama dan fahaman politik.

Namun di sebalik kemakmuran yang kita nikmati, pendirian diplomatik negara – tanpa membezakan parti pemerintah – boleh menjadi salah satu sebab utama mengapa kelab-kelab bola sepak utama dunia enggan memilih Malaysia.

Sebagai contoh, pendirian negara kita terhadap Israel. Pada 2019 misalnya kerajaan Malaysia pernah menghalang kemasukkan atlet renang paralimpik Israel dari memasuki negara khusus untuk menyertai Kejohanan Renang Para Dunia.

Akibatnya, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) terpaksa menarik balik hak penganjuran kejohanan kepada kita, walaupun persiapan rapi sudah pun dilakukan di Kuching, Sarawak sebelum ini.

Bola sepak turut tidak terkecuali dari tempias politik. Pemilik Chelsea, Roman Abramovich telah bertukar kewarganegaraan sebagai warganegara Israel.

Begitu juga dengan keluarga Glazer, pemilik Manchester United adalah dari keturunan Yahudi. Pengerusi Fenway Groups, Tom Werner yang merupakan pemilik bersama Liverpool juga berasal dari suku Yahudi.

Sesebuah kelab bola sepak juga mungkin memiliki pemain dan kakitangan yang berasal dari Israel. Isu diplomatik secara terang-terangan akan memberi masalah kepada mereka dari segi logistik.

Birokrasi acara antarabangsa

Perlawanan bola sepak persahabatan membabitkan kelab-kelab utama eropah merupakan salah satu acara antarabangsa di negara ini.

Seperti acara berprofil tinggi lain, kedatangan kelab-kelab besar eropah turut membabitkan ejen antarabangsa, promoter atau pun penganjur untuk merealisasikan kehadiran kelab-kelab bola sepak ini ke negara ini.

Malah di negara ini perlawanan sebegini dianggap sebagai aktiviti perlancongan.

Golongan sasar untuk hadir ke stadium pula bukan sekadar dari kalangan peminat bola sepak tempatan di dalam negara, malah dari kalangan serantau.

Namun untuk menganjurkannya, ia tidak semudah yang disangka dan perlu mematuhi perkara yang ditetapkan sebelum boleh diteruskan.

Sebagai contoh promoter terlebih dahulu perlu memastikan mereka mendapatkan kebenaran badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kemudian, promoter juga harus berhadapan dengan pelbagai agensi kerajaan sebelum kelulusan diberikan.

Bukan berniat memburukkan, tetapi Malaysia boleh dianggap sebagai negara yang mempunyai reputasi buruk dengan pelbagai karenah birokrasi untuk penganjuran acara antarabangsa.

Sedikit sebanyak perkara ini disebabkan beberapa perkara seperti kecenderungan negara ini membatalkan acara pada saat akhir, proses permohonan yang rumit dan cukai hiburan yang sangat tinggi.

Semua ini menyebabkan Malaysia sering digugurkan dari kalendar acara antarabangsa meskipun Singapura, Thailand dan Indonesia dimasukkan.

Kejohanan ICC

International Champions Cup (ICC) adalah kejohanan pra musim yang lebih bersifat holistik berbanding penganjuran jelajah pra musim yang pernah dianjurkan di Malaysia sebelum ini.

Ini menjadikan ICC sebagai platform yang jauh lebih baik untuk kelab-kelab utama dunia – terutama dari eropah untuk melakukan persiapan menjelang musim baharu.

Selain daripada jumlah perlawanan yang lebih banyak, ICC juga diadakan secara berpusat sekaligus memudahkan kelab-kelab terlibat.

Amerika Syarikat, Australia, China dan Singapura adalah empat venue utama kejohanan yang diadakan secara berkumpulan.

Penganjuran juga tampil dengan pelbagai format, bersesuaian dengan jumlah kelab mengambil bahagian, sejak ianya dianjurkan pada 2013.

ICC juga adapah kejohanan pra musim bersifat serampang dua mata. Selain daripada untuk mempersiapkan fizikal pemain, ia turut menawarkan liputan yang lebih meluas kepada pasukan bertanding  – sekaligus memberikan pakej publisiti menarik untuk kelab meluaskan pengaruh di seluruh dunia.

Perlawanan membabitkan kelab-kelab utama Eropah – sebagai contoh Manchester United vs Real Madrid di Stadium Michigan, Amerika Syarikat pada 2014 menjadi perhatian dunia dengan rekod kehadiran penonton 109,318.

Pada hari ini, ICC dianggap sebagai kejohanan kelab bola sepak antarabangsa terbesar dunia, dan sentiasa dinanti-nantikan saban musim olrh setiap lapisan penyokong bola sepak.

Perlawanan bola sepak ‘Sarkas’

Di negara lain kunjungan oleh kelab-kelab gergasi Eropah ke negara ini sentiasa dinanti-nantikan.

Peminat bola sepak sanggup berpusu-pusu mendapatkan tiket perlawanan, berkampung di hotel penginapan pasukan, dan menghadiri sesi bertemu pemain yang diadakan oleh pihak penganjur semata-mata untuk berjumpa dan melihat pemain dari dekat, yang selama ini hanya disaksikan melalui kaca TV.

Namun perkara ini berbeza di Malaysia. Perlawanan-perlawanan membabitkan kelab dari eropah menentang skuad Harimau Malaya turut mendapat kritikan sebahagian pengikut bola sepak tempatan.

Perlawanan sedemikian dianggap sebagai ‘perlawanan sarkas’. Ini kerana perlawanan sebegini dilihat tidak menguntungkan skuad kebangsaan, terutama dari segi ranking FIFA.

SARKAS"..orang ramai diharap tidak membandingkan perlawanan itu dengan aksi persahabatan kelas A. Perlawanan seumpama…

Posted by Retro Bola Sepak on Saturday, April 25, 2015

Golongan yang membantah berpendapat sebagai sebuah pasukan kebangsaan, FAM seharusnya berusaha untuk membawa masuk pasukan kebangsaan lain yang berkualiti sebagai ‘rakan sparring’.

Sebenarnya isu ini mudah. Tidak ada masalah untuk kelab-kelab Eropah datang ke Malaysia untuk menentang pasukan kebangsaan. Ini kerana ia memberi peluang kepada barisan pemain negara menimba pengalaman beraksi berhadapan pemain berkelas dunia.

Tetapi dari segi pemasaran, pihak penganjur dan FAM perlu lebih bijak dengan membentuk sebuah pasukan lain selain daripada pasukan kebangsaan khusus untuk perlawanan sebegini.

Satu perkara yang pasti label ‘perlawanan sarkas’ itu sendiri juga tidak memberi imej baik kepada pasukan-pasukan dari eropah ini untuk mengulangi kunjungan ke negara ini.

Iklim bola sepak di Malaysia

Satu lagi sebab mengapa Malaysia bukan lagi destinasi pilihan kelab utama dari Eropah ialah kerana iklim bola sepak di Malaysia itu sendiri.

Antara faktor yang mempengaruhi pemilihan destinasi pra musim adalah status sesebuah negara yang ‘gilakan bola sepak’. Perlu diingatkan bahawa kunjungan kelab-kelab Eropah untuk pra musim bukan sekadar untuk melakukan persiapan menjelang musim baharu.

Seperti yang dikatakan tadi, kedatangan kelab-kelab ini adalah strategi serampang dua mata – kelab tampil sebagai jenama – di sebuah negara yang dianggap ‘gilakan’ bola sepak.

Namun iklim semasa bola sepak tempatan tidak menggambarkan rakyat Malaysia benar-benar ‘gilakan’ bola sepak. Kita tidak perlu pergi jauh.

Lihat sahaja saingan pertandingan domestik di dalam negara. Kebiasaannya stadium hanya penuh di awal musim sebelum surut sepi, ibarat  tanpa memerlukan virus untuk melaksanakan PKP.

Sebagai perbandingan, perhatikan bagaimana penyokong bola sepak di Indonesia membanjiri setiap pelusuk stadium walaupun sekadar pertandingan AFF B-16.

Acap kali kehadiran perlawanan bola sepak di negara ini boleh dianggap mendukacitakan melainkan ia perlawanan penting seperti separuh akhir atau perlawanan akhir, atau hanya pada ketika pasukan negara berada pada prestasi terbaik.

Bukanlah niat untuk mengkritik sikap penyokong, tetapi konsert jelajah Ed Sheraan pada tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil mampu menarik lebih ramai hadirin berbanding perlawanan pusingan kelayakan sebelum ini.

Ironinya, rata-rata kita marah apabila stadium dijadikan tapak konsert, tetapi liat untuk turun ke stadium apabila membabitkan perlawanan bola sepak tempatan dan skuad negara. Adakah benar rakyat Malaysia ‘gilakan’ bola sepak?

Rumusan

Lima perkara di atas adalah pandangan kami sahaja berdasarkan situasi semasa sebelum ini. Kami percaya anda mungkin mempunyai pelbagai sebab dan penjelasan lain mengapa kelab-kelab utama Eropah tidak lagi melihat Malaysia sebagai destinasi terbaik untuk jelajah pra musim.

Namun lima perkara di atas adalah antara perkara yang perlu diberikan perhatian sekiranya kita mahukan negara menjadi perhatian dunia untuk venue acara antarabangsa, terutama bola sepak pada masa akan datang.

Kedatangan kelab-kelab eropah seperti Liverpool atau Manchester United mungkin tidak penting di mata kita. Namun reputasi negara sebagai penganjur sukan antarabangsa pada masa akan datang pasti turut terkesan disebabkan perkara sebegini.

Secara peribadi, sudah tentu kami mahu melihat Malaysia tampil sebagai penganjur Piala Asia atau pun Piala Dunia satu hari nanti.

 

FOTO DEPAN: No Context Bola Malaysia, @nocontextBolaMY (TWITTER)

Kongsi artikel ini