5 Jurulatih Asing Paling Dikenang Di Liga Malaysia

Sejak era semi pro sehingga ke era Liga Super, saingan bola sepak di dalam negara pernah menyaksikan ramai jurulatih asing yang pernah menabur bakti bersama pasukan masing-masing.

Malah ada di kalangan mereka telah dianggap sebagai legenda pasukan masing-masing. Berikut adalah lima jurulatih yang akan sentiasa dikenang oleh penyokong pasukan masing-masing.

1. Alan Vest (Sarawak FA)

Ketika penghujung era 1980-an, Sarawak mulai bangkit sebagai kuasa bola sepak negara sebaris denganKuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pahang dan Singapura.

Kebangkitan tersebut dicetuskan oleh jurlatih legenda Sarawak, Alan Vest.  Dilahirkan pada 1939 di Barnley,  Alan Vest pernah mewakili pasukan “All White” di peringkat antarabangsa selepas berhijrah ke New Zealand.

Antara pemain yang dibawa masuk oleh Alan Vest pada era tersebut adalah John Hunter, Jeff Curran dan David Evans – yang juga merupakan antara awang import terawal pernah menyarung jersi skuad Bujang Senang.

Di bawah kendalian pengurus merangkap ketua jurulatih berbangsa Inggeris ini, Sarawak menjadi antara pasukan negeri paling konsisten.

Sarawak menduduki tiga tempat teratas liga selama lima tahun berturut-turut. Juara Piala FA Malaysia 1992, juara Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998.

2. Michael Urukolo (Johor FA)

Liga Semi Pro diperkenalkan mulai pada 1989. Dan Johor FA merupakan pasukan pertama yang berjaya meraih gelaran berganda Liga Divisyen 1 dan juara Piala Malaysia pada musim yang sama pada 1991.

Individu yang bertanggungjawab membawa kebangkitan bola sepak Johor pada ketika itu adalah jurulatih yang berasal dari Australia, Michael Urukolo.

Antara tenaga import yang dibawa masuk oleh Michael Urukolo untuk memperkuatkan Johor pada ketika itu adalah seperti Ervin Boban Abbas Saad, dan juga Alistair Edwards.

3. Ken Worden

Ken Worden adalah salah seorang jurulatih yang berasal dari Australia dan memainkan peranan penting mencorak saingan bola sepak Malaysia sejak dari awalnya.

Pertama kali tiba di negara ini selaku jurulatih Selangor, bekas penyerang Burnley di Liga Inggeris ini turut pernah melatih beberapa pasukan negeri lain seperti Sabah dan Terengganu.

Kredit: chedinsphere.blogspot

Malah Worden turut pernah bergelar pengendali pasukan negara pada 1992 sehingga 1993.

Tetapi Worden paling diingati kerana kegemilangan beliau bersama Selangor apabila menjadikan pasukan Lembah Kelang itu sebagai gergasi bola sepak tanah air pada 1990 an.

Antara kejuaraan yang beliau pernah kecapi bersama Selangor adalah Piala FA pada 1991, tiga gelaran Piala Malaysia pada 1995. 1996 dan 2002, serta Piala Sumbangsih pada 1996 dan 2002.

4. Robert Alberts (Kedah)

Sepanjang bergelar jurulatih di Liga Malaysia, Robert Alberts pernah melatih pasukan Kedah dan juga Sarawak. Namun kejayaan Robert Alberts di kacah saingan domestik negara adalah ketika bersama Kedah.

Robert Alberts bersama Kedah pada ketika zaman kebangkitan pasukan bola sepak dari utara tanah air itu ketika era Datuk Ahmad Basri Akil pada awal 1990an.

Kredit: Kelab jersi Kedah

Tiba di Alor Setar pada 1992, Robert Alberts membimbing Kedah merangkul kejuaraan berganda Liga Premier Satu dan Piala Malaysia pada 1993.

Gelaran juara liga pada ketika itu adalah pertama buat Kedah, selepas muncul juara Divisyen 2 pada musim sebelumnya.

Kejuaraan Piala Malaysia pada 1993 pula adalah gelaran Piala Malaysia kedua dalam sejarah bola sepak negeri Kedah pada ketika itu.

Bersama Sarawak, Robert Alberts turut membantu Sarawak muncul ‘juara invisibles’ Liga Premier pada musim 2013.

5. Karl-Heinz Weigang (Perak)

Pasti tidak akan dilupakan adalah mendiang Karl-Heinz Weigang. Pernah melatih Perak sebanyak dua kali, jurulatih dari Jerman ini turut pernah mengendalikan Johor satu ketika dahulu.

Pertama kali tiba di Malysia, Weigang adalah Ketua Jurulatih pasukan negara dari 1979 sehingga 1982.

Beliau adalah jurulatih terakhir yang pernah melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik, sebelum kerajaan memilih untuk memboikot temasya di Moscow pada 1982.

Weigang kemudiannya melatih Perak pada 1997 sehingga 2000), dan sekali lagi pada 2016 sehingga 2017. Sepanjang tempoh itu, Weigang pernah membawa Perak muncul juara Piala Malaysia pada 1998 dan 2000.

Sentiasa dihisasi dengan kontroversi di dalam dan luar padang, semua itu adalah kerana kesungguhan yang beliau miliki.

Weigang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 12 Jun 2017 pada umur 81 tahun di Jerman.

Penutup

Ini hanya lima daripada senarai jurulatih asing yang pernah memberikan impak di saingan Liga Malaysia.

Kita juga pernah menyaksikan Ken Shellito, Peter Butler, Steve Darby, Bojan Hodak, Mario Gomez dan ramai lagi yang pernah memberikan impak di saingan Liga Malaysia.

 

 

Kongsi artikel ini