5 ‘Instant Impact’ Kepada JDT Selepas Pengunduran TMJ

Pengumuman DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mengundurkan diri daripada pengurusan kelab JDT membuatkan penyokong , pemerhati , kawan mahupun lawan dalam arena bolasepak tempatan amat terkejut dengan keputusan baginda yang menjadi kesayangan seluruh rakyat negeri Johor.

Pengumuman berkenaan lantas mendapat liputan media seluruh negara dan menjadi topik perbualan utama oleh rakyat Malaysia.

Perkara itu segera mendapat respon pantas daripada ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia Kim Pan-gon yang menerusi laman sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta baginda mempertimbangkan semula keputusan itu walaupun jurulatih itu tidak perlu mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Keputusan TMJ adalah satu beban berat dan ini mungkin keputusan yang muktamad kerana putera raja Johor ini mempunyai tanggungjawab dan komitmen utama khususnya kepada rakyat Johor yang berbilang kaum.

Ini lima impak segera kepada Kelab Johor Darul Ta’zim setelah TMJ undur daripada kelab.

1. Perlantikan CEO Baharu JDT FC

Ura-ura baginda mahu angkat kaki daripada kelab JDT atas faktor sudah letih menguruskan bolasepak pernah dibincangkan oleh para penyokong TMJ dalam sesi soal jawab di laman IG baginda pada hujung tahun lepas.

Ketika peminat bertanya siapakah yang akan menggantikan baginda sekiranya mengundurkan diri daripada kelab , TMJ telah meletakkan satu gambar individu sebagai calon penggantinya.

Syed Mohamed JCorp

Individu yang dimaksudkan oleh baginda ialah seorang tokoh korporat bernama Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

Syed Ibrahim menggantikan Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jcorp pada 10 Januari 2020.

Dengan mengetuai badan konglomerat kerajaan negeri Johor itu , beliau juga merupakan Pengerusi Perbadanan Pelaburan Felda, Presiden dan Pengerah Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd, Presiden dan CEO Iskandar Investment Bhd serta Pengerusi Encord Bhd.

Profil Syed Mohamed yang lain beliau merupakan Pengerusi Prasarana Integrated Development Sdn Bhd dan juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Ibrahim Johor serta Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Sebagai individu yang mempunyai pengalaman dan kepakaran selama 34 tahun dalam bidang perbankan, korporat, pembangunan hartanah dan strategi perniagaan ini sudah pasti Datuk Syed Ibrahim dapat membawa jenama kelab JDT ke arah globalisasi peringkat yang lebih tinggi lagi.

2. Peluang kembangkan organisasi JDT

Menurut kenyataan Pengarah Teknikal JDT FC Alistair Edward , baginda hanya akan memantau perkara yang berkaitan dengan infrastruktur , komersil dan kewangan kelab.

Selain daripada itu TMJ tidak akan lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya.

Ini membuktikan baginda menaruh keyakinan dan kepercayaan penuh kepada individu-individu yang telah lama bekerja bersama dengannya serta akan memerhatikan dan memberikan nasihat daripada luar kelab sekiranya perlu sebagai pemilik kelab.

Malah pengunduran ini sepatutnya dilihat sebagai peluang untuk memantapkan lagi organisasi JDT sebagau sebuah kelab bola sepak profesional.

Jika diperhatikan Chelsea, Roman Abramovich turut mengandalkan kepercayaan kepada individu-individu dengan kepakaran tertentu untuk mengendalikan urusan kelab.

Begitu juga John Henry dan Tom Werner yang memiliki Liverpool melalui Fenway Groups. Setiap urusan jual beli pemain menggunakan  tenaga pakar sehingga hasilnya, Liverpool kini berjaya mengembalikan kegemilangan lama yang telah hilang.

3. JDT tetap JDT

Meskipun TMJ meninggalkan kelab , baginda kekal sebagai pemilik kelab JDT dengan pemegang saham yang terbanyak.

TMJ tidak meninggalkan kelab dengan begitu sahaja namun sudah pasti baginda telah mempunyai satu modul , falsafah , visi dan misi untuk kelab demi memacu pengurusan kelab yang lebih bagus.

tmmj

Modul pengurusan kelab JDT yang professional ini yangg telah membawa JDT ke tahap yang lebih tinggi biarpun kurang 10 tahun TMJ mengubah landskap bolasepak Johor Darul Ta’zim.

Maka apa seterusnya yang berlaku? Tidak ada bnanyak perbezaan. Ini kerana TMJ selama ini telah menanam falsafah dan DNA kelab yang sentiasa dahagakan kemenangan.

Walaupun tanpa TMJ, JDT dijangka akan terus bersaing di setiap pertandingan untuk muncul juara.

4. Pengurusan persepsi

Walaupun kemungkinan kita tidak acap kali lagi mendengar suara lantang TMJ dengan isu-isu hangat bolasepak tempatan , karisma dan aura baginda kekal terasa.

Pandangan , kritikan dan lontaran idea serta contoh yang telah dilakukan oleh Tunku Ismail sedikit sebanyak telah diikuti oleh sebahagian kelab bolasepak tempatan.

Tidak perlu lagi para ‘haters’ akan melibatkan Baginda dan kelab JDT lagi secara sinis mahupun jenaka semata-mata untuk kepuasan hati.

Atau dalam kata lain, JDT akan memiliki pengurusan persepsi yang lebih baik selepas ini.

Jika ada impak negatif, ia adalah kerana arena bola sepak negara akan kesunyian selepas ini.

5. JDT lebih berdikari

Tunku Ismail merupakan Tunku Mahkota Johor yang bakal menjadi Sultan Johor dan jajahan seluruh takluknya pada suatu hari nanti.

Baginda amat memahami akan situasi ini dan sudah pasti membuat persiapan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat Johor khususnya.

Tetapi seperti JDT, rakyat negeri Johor juga memerlukan khidmat dan perhatian daripada baginda.

Bukanlah maksud mengundur diri bermakna TMJ membelakangkan terus JDT. Seperti dikatakan tadi, baginda masih pemilik kelab.

Maka peluang ini sepatutnya dilihat sebagai peluang untuk JDT lebih berdikari sebagai sebuah kelab selepas ini.

Penutup

Adalah wajar seluruh penyokong bolasepak tempatan menghormati keputusan yang dilakukan oleh TMJ.

Usah cepat sangat melatah. Adakalanya sesebuah entiti seperti JDT perlu keluar daripada ‘zon selesa’ untuk terus berkembang menjadi sebuah organisasi yang lebih baik.

Kongsi artikel ini