Expand To Show Full Article
5 Impak Positif Skuad Thomas Tuchel Pencabar Baru Lima Kelab Teratas EPL - Grandstand Kita

5 Impak Positif Skuad Thomas Tuchel Pencabar Baru Lima Kelab Teratas EPL

Penalti yang disempurnakan oleh Jorginho pada separuh masa pertama sudah cukup untuk membantu Blues menewaskan anak-anak buah Jose Mourinho 0-1 di Tottenham Hotspurs Stadium awal pagi tadi.

Pemain tengah yang juga merupakan pemain kebangsaan Itali itu menjaringkan gol penalti pada minit ke 24 setelah pemain pertahanan Spurs , Eric Dier menjatuhkan penyerang The Blues , Timo Werner di dalam kawasan kotak penalti.

Chelsea di bawah pengendali baru Thomas Tuchel telah menunjukkan peningkatan positif meskipun terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pemain-pemainnya.

Ini lima impak positif yang dijelmakan oleh Thomas Tuchel

1. Pungutan Mata Konsisten

Pasukan ini telah memungut tujuh mata daripada tiga perlawanan semenjak Frank Lampard dipecat oleh pengurusan kelab itu yang digantikan dengan segera oleh bekas pengurus Paris Saint Germany (PSG) itu bermula dengan perlawanan menentang Wolves.

Berbeza dengan Frank Lampard semasa permulaan musim 2020/21 , The Blues hanya mampu memungut empat mata sahaja apabila memang ke atas pasukan Brighton , tewas kepada Liverpool dan sekadar seri dengan West Brom.

Pungutan mata yang konsisten ini menyaksikan Chelsea kini pantas mendaki tangga keenam dalam liga premier.

2. Mencipta Rekod “Cleen Sheets”

Edouard Mendy diberikan kepercayaan menjaga gawang gol Chelsea bermula dengan perlawanan menentang Wolves hujung bulan yang lalu. Kini beliau seperti mendapat semangat yang segar dan membalas kepercayaan boss barunya dalam mempertahankan golnya dari dibolosi.

Thomas Tuchel menghamburkan pujian ke atas prestasi penjaga gol yang bermain untuk negara Senegal itu kerana kental menjaga gawang ketika Chelsea ditekan oleh Spurs awal pagi tadi.

Penjaga gol ini akan terus mendapat pilihan utama oleh pengendali dari German itu pada perlawanan yang seterusnya dengan rekod baik yang ditunjukkan oleh Mendy.

3. Tiga bek pertahanan bermutu tinggi

Pengendali German ini bijak menyelesaikan masalah pertahanan yang dihadapi dalam skuad Chelsea. Beliau menggunakan sistem tiga bek secara konsisten setakat tiga perlawanan yang kini menuai keputusan positif.

Meletakkan pemainnya di posisi yang betul seperti Thiago Silva , Azpilicueta dan A. Rudiger kini bek pertahanan mereka telah berfungsi begitu baik sekali menahan asakan pihak lawan.

Amat jelas sekali Thomas Tuchel dapat menghidu pemain-pemain yang bersesuaian mengikut apa yang ada di dalam skuad Chelsea  dan menggunakannya sebaik mungkin.

4. Kelicikan Mason Mount

Bekas pemain akademi Chelsea ini telah menunjukkan keseronokannya bermain bola dengan menghuru-harakan pertahanan Spurs awal pagi tadi.

Dalam perlawanan itu , Tuchel berani meletakkan Mount peranan yang bergerak bebas untuk mendapatkan bola , berlari dengan bola dan menyuapkan umpanan kepada penyerang utama Timo Werner

Statistik yang padu ini disebabkan Mount telah diberikan mandat penuh oleh bossnya untuk bermain dengan taktik yang baru diserapkan kepada semua pemain Chelsea dan ia ternyata membuahkan hasil khusus kepada pemain berusia 22 tahun ini.

5. Inovasi latihan yang baru

Pemain Chelsea terkejut dengan penyediaan latihan baru oleh jurulatih Thomas Tuchel kerana mereka berlatih menggunakan bola kecil bersaiz satu. Ia macam pelik tetapi latihan mengawal bola kecil itu sebenarnya untuk pemain memperbaiki kawalan bola dan memfokuskan kedua kaki menjadi lebih tindakan refleks.

Pendekatan ini bukanlah sesuatu yang baru kerana Tuchel semasa mengendalikan kelab FSV Mainz 05 telah menggunakan teknik latihan ini kepada pemain-pemainnya.

Selain itu Thomas Tuchel konsisten menerapkan formasi 3-4-2-1 berbanding yang digunakan oleh Frank Lampard kerana beliau sering melakukan beberapa eksperimen formasi yang menjadikan prestasi Chelsea tidak memberangsangkan sehingga dipecat oleh Abramovich.

Rumusan

Pasukan lima kelab teratas semestinya berhati-hati dengan peningkatan prestasi Chelsea bimbingan Tuchel ini. Sudah semestinya The Blues menjadi pencabar utama untuk berada dalam empat tangga teratas sekaligus memastikan kelayakan automatik untuk saingan Liga Juara-juara Eropah (UCL) pada musim depan.

Liverpool seharusnya lebih berhati-hati agar tidak terlepas dalam empat pasukan teratas.

Kongsi artikel ini