Son Heung-min bukanlah nama asing di kalangan pengikut bola sepak Liga Inggeris, khususnya penyokong Korea Selatan.
Dilahirkan pada 8 Julai 1992 di Chuncheon-si, Korea Selatan, Son dianggap sebagai eksport terbaik Asia di bumi Eropah setakat ini.
Son adalah figura yang terkenal seperti selebriti di negaranya. Asalkan Son kembali ke Korea Selatan, beliau akan diikuti oleh wartawan dan peminat – termasuk di pintu pagar kem tentera.
Bagi anda yang merupakan peminat Son Heung-Min, berikut adalah 5 fakta menarik mengenai pemain ini.
Latihan berat sejak usia muda
Tahukah anda bahawa Son Heung-Min hanya dibenarkan oleh bapanya untuk bermain dalam perlawanan bola sepak selepas berusia 14 tahun?
Ini kerana kepercayaan ayahnya bahawa sebarang aktiviti berlebihan hanya akan merosakkan potensi atlet muda, dengan terlampau memaksa otot bekerja keras.
Sebelum usia tersebut, Son dan abangnya hanya berlatih asas bola sepak. Namun rejim latihan ayahnya juga bukannya mudah.
Son dan abangnya diarahkan berlatih kemahiran asas selama 6 jam, termasuk menimang bola selama 4 jam setiap hari.
Tidak tamatkan persekolahan
Minat Son terhadap bola sepak bermula sejak zaman sekolah rendah lagi. Son mulai aktif bermain bola di sekolah rendah sebelum meneruskannya di sekolah menengah.
Bagaimanapun, Son hanya bersekolah selama setahun di sekolah menengah sebelum berhenti untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada bola sepak.
Untuk mengasah bakatnya, Son pada awalnya menyertai Akademi Bola Sepak FC Seoul, dan bekerja sebagai budak bola ketika perlawanan, sebelum menyertai Akademi Bola Sepak Hamburger SV pada usia 16 tahun.
Ketika membesar, beliau melihat bekas penyerang Crystal Palace, Lee Chung-Yong sebagai idolanya.
Berdarah bola sepak
Ke manakah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah perumpaan yang tepat menggambarkan Son Heung-Min dan ayahnya.
Son Woong-Jung adalah ayah, dan juga jurulatih yang menbangunkan bakat Son pada peringkat awal. Dilahirkan pada 10 Jun 1962, Woong-Jung juga pernah bergelar pemain bola sepak profesional sebelum terpaksa bersara pada usia 28 tahun akibat kecederaan.
Sejak daripada itu, Woong-Jung membuka akademi bola sepaknya sendiri di bahagian timur wilayah Gangwon.
Nilai kekayaan
Berapakah kekayaan yang dimiliki oleh Son Heung-Min? Menurut portal Sporty Tell, Son Heung-Min mempunyai kekayaan dalam anggaran USD20 juta.
Untuk musim 2019/20 sahaja, Son dilaporkan menerima bayaran sebanyak £7,280,000 atau bersamaan dengan RM38.22 juta daripada Tottenham Hotspur.
Beliau juga memperolehi pendapatan daripada pelbagai penaja lain seperti LG dan barangan sukan popular dunia, Adidas.
Kisah percintaan
Sehingga Mei tahun ini tiada rekod bertulis yang mengatakan Son mempunyai hubungan dengan mana-mana wanita.
Namun berdasarkan gosip yag tular di media hiburan Korea Selatan, pemain peyerang ini pernah dikaitkan dengan dua bintang pop wanita Korea. Ini termasuklah Bang Min-ah, dan Yoo So-young.
Laporan tersebut turut berkata hubungan Son bersama Bang Min-ah sudah lama menjadi sejarah. Namun sukar untuk membaca sejauh mana hubungan Son dengan Yoo So-young yang juga merupakan bekas anggota kumpulan After School.
Ini kerana kedua-duanya disifatkan oleh media Korea sebagai pandai menyimpan rahsia.
Namun dalam satu temubual berasingan, Son pernah menekankan beliau akan mengikuti nasihat ayahnya untuk memberi sepenuh perhatian terhadap karier bola sepak terlebih dahulu sebelum menamatkan zaman bujang.