Expand To Show Full Article
3 Pesanan Peribadi Vincent Tan Buat Luqman Hakim Selepas Sertai KV Kortrijk - Grandstand Kita

3 Pesanan Peribadi Vincent Tan Buat Luqman Hakim Selepas Sertai KV Kortrijk

Luqman Hakim Shamsuddin menjadi produk pertama Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan pemain bola sepak pertama dari negara ini yang memperolehi kontrak bersama sebuah kelab yang beraksi di Divisyen 1 di liga Eropah.

Semalam Luqman telah sah menjadi pemain KV Kortrijk setelah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab Jupiler Pro League itu.

Bagi pemilik kelab, Tan Sri Vincent Tan menganggap membawa masuk Luqman pada usia yang muda adalah satu perjudian yang boleh memberikan pulangan berbaloi kepada semua pihak .

“Pada mulanya, mereka (KV Kortrijk) tidak bersetuju kerana dia masih muda tetapi saya katakan, kalau saya sebagai pemilik tetapi tidak boleh buat sedikit keputusan, jadi bagaimana? Saya sebagai pemilik dari Malaysia mahu beri peluang kepada seorang pemain Malaysia main untuk pasukan ini.

“Mereka perlu beri Luqman peluang. Jika tidak kesebelasan utama, pemain gantian pun boleh kerana kita mesti beri dia peluang. Kalau tidak diberi peluang, bagaimana mereka boleh kata tidak boleh? Jadi, selepas itu mereka setuju,” katanya.

Berikutan itu, ini tiga pesanan peribadi yang disampaikan oleh Tan Sri Vincent Tan kepada Luqman demi memastikan pemain itu mampu menyesuaikan diri dengan cepat dan berjaya di Belgium.

1. Belajar Bahasa Inggeris

Tan Sri Vincent Tan mahu agar Luqman hakim segera menguasai Bahasa Inggeris agar pemain itu boleh berkomunikasi dengan mudah dengan jurulatih dan rakan sepasukan yang baharu di Kortrijk nanti.

Sebagai salah seorang pemain generasi pertama produk dari AMD yang sering ke luar negara sebelum ini, kami yakin Luqman mampu untuk bertutur dan memahami asas Bahasa Inggeris dengan baik.

Namun sepertimana bola sepak, ilmu dalam mendalami bahasa harus sentiasa diperluaskan agar ia mampu membantu Luqman menyesuaikan diri dengan baik secepat mungkin di Belgium nanti.

Penguasaan Bahasa Inggeris yang baik turut mampu membantu Luqman untuk mengembangkan bakat dan kariernya di Eropah satu hari nanti.

2. Luqman mesti rajin

Sebagai seorang usahawan yang kini bergelar jutawan, Tan Sri Vincent Tan mungkin adalah salah seorang rakyat Malaysia yang amat memahami definisi kerajinan.

Tan Sri Vincent sendiri bukannya lahir dari daripada keluarga yang kaya. Beliau lahir dalam keluarga yang miskin dan turut pernah merasa jerih perih sebelum berjaya.

Ayah beliau dikenali sebagai Tan Lam Hui adalah seorang pemandu lori. Beliau terus bekerja sebaik sahaja tamat sekolah menengah. Antara pekerjaan yang beliau pernah lakukan adalah sebagai kerani di sebuah bank sebelum menjadi ejen insuran.

Itu sedikit sebanyak kisah pemilik KV Kortrijk ini. Beliau amat tahu bahawa tiada jalan singkat untuk berjaya. Dan kini beliau memberikan peluang kepada Luqman untuk mencorak masa depannya sendiri.

3. Mesti jaringkan gol

Kita semua tahu betapa prolifiknya Luqman Hakim mencipta jaringan ketika bersama skuad B-16 dan B-18 sebelum ini.

Malah Luqman kini turut menjadi harapan skuad Brad Maloney untuk mengemudi cabaran pasukan negara di Kejohanan AFC B-19 yang akan belangsung di Uzbekistan pada Disember nanti.

Namun demikian, cabaran di Jupiler Pro League pasti berbeza. Walaupun tahap kesukaran ia mungkin berbeza, Tan Sri Vincent tetap mahu Luqman menggunakan peluang ketika diturunkan untuk menjaringkan gol.

“Jika beliau dapat peluang beraksi di sana, saya harap beliau jaringkan gol supaya boleh jadi wira Malaysia. Sebagai penyerang kalau tidak masuk (jaringkan gol) orang tak kenal siapa kita. Menjaringkan gol tugas utama penyerang,” ujar Tan Sri Vincent kepada Luqman.

Penutup

Buat masa ini semua pihak harus positif dengan pemergian Luqman ke Belgium untuk mengembangkan bakat beliau.

Malah pemergian beliau seharusnya didukung dengan doa seluruh rakyat Malaysia beserta tinta harapan agar satu hari nanti Luqman mampu mengharumkan nama negara di persada bola sepak antarabangsa.

Buat Luqman Hakim, selamat maju jaya daripada kami!

Kongsi artikel ini