2 Gol 3 Assist Musim Ini, Saddil Ramdani Pantas Dipinang Kelab Eropah Untuk Musim Hadapan

Ternyata tanggapan penyokong Indonesia beraksi di Liga Malaysia hanya akan membuatkan prestasi pemain merudum apabila prestasi Saddil Ramdani bersama Sabah FC terus mendapat perhatian kelab eropah pada musim ini.

Selepas dua musim bersama kelab dari Borneo itu, prestasi ditampilkan pemain sayap itu dianggap terus menghasilkan peningkatan.

Pada musim lalu, Saddil beraksi di dalam 17 perlawanan dan hanya berjaya mencetak 3 gol dan 3 assist untuk Sabah.

Skuad Badak turut hanya mampu menamatkan saingan musim lalu di kedudukan ke-9 daripada 12 pasukan di saingan Liga Super Malaysia (MSL).

Musim ini Saddil terus berkembang dan menunjukkan kematangan bersama pasukan Sabah. Daripada 9 penampilan setakat ini, Saddil sudah pun menjaringkan 2 gol dan 3 assist. Malah perkembangan positif pemain itu turut berjaya membantu Sabah mencatat kemenangan ke atas Negeri Sembilan baru-baru ini.

Saddil Ramdani Diincar Klub Belarus

Perkhabaran Saddil diintai kelab Eropah sebenarnya bukan perkara baharu. Khidmat pemain skuad kebangsaan Indonesia itu sebenarnya sudah ditagih kelab Liga Serbia, FK Novi Pazar pada awal musim ini.

Akan tetapi, perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan kerana Sabah tidak sanggup melepaskan pemain yang masih memiliki baki kontrak bersama mereka itu.

Dan hanya selepas separuh musim Liga Malaysia berlangsung, ejen pemain itu, Alex Talpes mendedahkan kini bakat Saddil telah menarik perhatian kelab Liga Belarus, Dinamo Minsk.

Menurut kenyataan Alex Talpes yang disiarkan IndoSport baru-baru ini, Dinamo Minsk sedia untuk menawarkan kontrak dengan gaji lumayan untuk pemain itu menyertai mereka musim hadapan.

Saddil dilaporkan sudah bersetuju

Malah Dinamo Minsk dikatakan turut menjanjikan peluang untuk Saddil melakukan penampilan di pertandingan kelab-kelab eropah.

Saddil dilaporkan turut sudah menerima tawaran tersebut namun proses perpindahan pemain itu harus terlebih dahulu meninggu kontraknya bersama Sabah berakhir pada penghujung musim ini.

“Dinamo Minsk dari Belarusia menawarkan kontrak untuk Saddil Ramdani. Tawaran gajinya sangat bagus, dan juga klub bermain di Eropa (UEFA Europa Conference League),” kata Alex Talpes.

“Dia (Saddil Ramdani) menerima, tetapi kita harus menunggu sehingga 30.11.2022 (kontrak bersama Sabah berakhir),” tambahnya.

Kongsi artikel ini