187 Gol Dijaringkan Dalam 2 Perlawanan Di Sierra Leone Undang Siasatan Berlakunya Rasuah

Beberapa hari lalu dua perlawanan liga domestik di Sierra Leone mencatatkan jumlah jaringan luar biasa.

Salah satu perlawanan menyaksikan Kahula Rangers menewaskan Lumbenbu United dengan jaringan 95-0. Manakala satu lagi perlawanan menyaksikan Koquima Lebanon tewas 1-91 kepada Gulf FC.

Menurut laporan Reuters, kesemua pemain, pengadil dan jurulatih yang terlibat dalam perlawanan tersebut kini berada di dalam siasatan kerana disyaki mengatur perlawanan.

Jumlah jaringan tersebut dianggap tidak logik kerana memerlukan lebih dari satu gol dihasilkan pada setiap minit perlawanan.

Persekutuan Bola Sepak Sierra Leone turut melabel dua keputusan perlawanan tersebut sebagai tidak realistik sama sekali dan tidak akan memberi muka kepada mereka yang terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan.

“Kami baru sahaja menerima laporan mengenai dua perlawanan Divisyen 1 membabitkan Gulf FC vs Koquima Lebanon dan perlawanan Lumbenbu United vs Kahula Rangers.

“Kedua-dua perlawanan berakhir dengan jaringan 91-1 dan 95-0. Kami telah membuka kertas siasatan terhadap pertandingan liga tersebut. Semua pemain, pengadil empat pasukan tersebut akan disiasat.

“Semua pihak diberi jaminan bahawa mereka yang bersalah akan diambil tindakan undang-undang,” kata kenyataan daripada Sierra Leone FA itu.

Rekod jumlah jaringan terbesar di dalam sejarah bola sepak berlaku di Madagascar apabila AS Adema menewaskan SO L’Emyrne 149-0 pada 2002.

Pada ketika itu barisan pemain SO L’Emyrne langsung enggan bermain selepas tidak berpuas hati dengan keputusan kehakiman timbang tara.

Pada Jun lalu empat kelab divisyen keempat Afrika Selatan,  Matiyasi, Shivulani Dangerous Tigers, Kotoko Happy Boys dan Nsami Mighty Birds digantung secara tetap kerana terlibat dengan aktiviti mengatur perlawanan.

Dua perlawanan membabitkan empat pasukan itu menghasilkan 94 jaringan, termasuk 41 gol sendiri. Dangerous Tigers menang 33-1 ke atas Happy Boys, manakala Matiyasi pula membelasah Mighty Birds 59-1.

Pihak berkuasa tidak membuang amsa untuk terus campur tangan menghukum semua empat pasukan pada ketika itu kerana perlawanan tersebut jelas memiliki unsur aktiviti mengatur perlawanan.

Pada ketika itu Dangerous Tigers dan Matiyasi adalah dua kelab yang berusaha muncul juara liga untuk memenangi promosi.

Matiyasi dan Mighty Birds pula bersekongkol untuk mengelakkan Dangerous Tigers muncul juara.

Kongsi artikel ini